Sijil digital vaksin palsu serendah RM15 dikesan dijual di media sosial

Sijil digital pengesahan individu yang lengkap disuntik vaksin Covid-19 dikesan dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.



Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Datuk Dr Mohd Rushdan Mohd Noor mendedahkan sijil digital tersebut dijual pada harga RM15.

Pendedahan itu dibuat menerusi laman Facebook miliknya pada Selasa.

Dr Mohd Rushdan turut memuat naik tangkap layar yang memaparkan sijil palsu berkenaan dilengkapi maklumat dan gambar penerima sijil berkenaan.

Antara maklumat tersebut termasuklah tarikh dan lokasi dos vaksin diberikan.

“Ia sudah mula dijual dalam talian. Kalau orang ramai dibenarkan buat kad pengenalan sijil vaksin atau cetak sendiri sijil vaksinasi, macam mana pihak berkuasa nak kenal yang tulen atau palsu?” soalnya dalam hantaran tersebut.

Pada masa sama, beliau berharap pihak berkuasa melakukan semakan ketulenan sijil digital tersebut dengan mengimbas kod QR yang tertera padanya.

"Masalah yang akan timbul adalah kesukaran bagi pihak berkuasa melakukan semakan terperinci,” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.