KEADAAN lengang di ibu kota Jakarta, Indonesia ketika sekatan Covid-19 dilanjutkan sehingga 16 Ogos ini. - AFP |
JAKARTA: Indonesia melanjutkan lagi sekatan Covid-19 di Jawa dan Bali sehingga 16 Ogos ini, namun akan melonggarkan beberapa peraturan di 26 kawasan ketika kes jangkitan di Jakarta sudah menurun, namun meningkat di tempat lain.
Pihak berkuasa Indonesia melaksanakan sekatan Covid-19 yang diperketatkan sejak awal Julai lalu selepas negara ini merekodkan peningkatan kes jangkitan secara ‘luar biasa’.
Menteri Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, merangkap ketua pencegahan Covid-19 Indonesia, Luhut Pandjaitan menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi protokol yang ditetapkan.
“Jangan biarkan apa yang kita sudah capai hari ini (penurunan kes) menjadi sia-sia, kita perlu kekalkan momentum,” katanya.
Kesemua pusat beli belah akan beroperasi pada kapasiti 25 peratus untuk golongan yang sudah divaksin, selain perlu menunjukkan bukti divaksin menggunakan aplikasi digital.
Sekatan Covid-19 di luar Jawa dan Bali pula akan dilanjutkan sehingga 23 Ogos ketika kes meningkat sehingga 1.2 peratus.
Kes jangkitan di Jakarta pada 12 Julai lalu direkodkan sebanyak 14,619, namun kelmarin, hanya 727 kes dicatatkan, selain tahap keperluan katil hospital turut menurun iaitu dari 90 kepada 39 peratus.
Di Kalimantan Timur dan kepulauan Borneo, kes jangkitan meningkat dari 922 kepada 12,127 kes dalam seminggu pertama Ogos. – REUTERS