Ada gambar anak-anak yang begitu ceria bersama ibu bapanya, sekejapan saja gambar itu sudah menjadi kenangan, ada yang nampak begitu aktif dalam laman sosial berapa hari sebelum itu, tiba-tiba saja hari ini dikhabarkan sudah tewas dengan Covid-19 dan ada yang memuat naik status rindu dengan keluarga di kampung akhirnya rindu itu kekal pergi bersama-samanya.
Ini semua amat mengejutkan dan membuat kita terpingga-pingga. Dalam masa setahun lebih ini, begitu berat ujian yang dilalui. Ramai yang dikenali telah pergi akibat Covid-19. Hingga membuatkan kita sudah hilang kata-kata.
Seorang rakan yang sudah lama menderita Anxiety memberitahu saya, penyakitnya itu kini bertambah teruk sebab asyik memikirkan bila-bila saja gilirannya pula terkena Covid-19. Ini menjadikan dia sukar tidur. Dia juga jadi takut keluar rumah. Sekarang ini saya agak, yang tiada Anxiety pun boleh diserang penyakit ini. Kebimbangan dan kemurungan, itu puncanya.
Dan pada Khamis lalu, kes harian Covid-19 di negara ini sudah melepasi 20,000. Angka yang kita tidak terfikir akan mencapainya dalam negara kecil ini. Sebanyak 164 kematian dilaporkan pada hari itu dengan 22 daripadanya brought-in-dead (BID) iaitu kematian di rumah atau tanpa fasiliti hospital.
Melihat statistik itu, anak saya bertanya – bila semua ini nak habis? Dia takut. Saya yang selalu ada jawapan untuk setiap soalannya, diam saja. Tiada jawapan. Dan saya cukup pasti Menteri Kesihatan pun tiada jawapannya.
Ya betul, jujur sajalah, nampak kita macam hampir kalah, tapi belum lagi kalah dan tidak menyerah kalah. Dulu kita belum menang dan hampir menang tapi macam sudah menang. Akhirnya kita berada di tahap sekarang.
Paling tidak boleh diterima akal dan menghakis rasa hormat rakyat dalam keadaan amat genting ini, pemimpin politik negara sibuk mahu berebut kuasa. Selesaikanlah dulu masalah Covid-19 ini. Ini soal nyawa dan keselamatan. Jika negara sudah lumpuh, ada kuasa pun tak guna juga.
Dalam ramai asyik menyalahkan tindakan kerajaan – suruh duduk di rumah pun kes makin tinggi, kedengaran juga rungutan orang ramai tentang majikan yang tidak bertanggunjawab.
Ada yang memaksa semua pekerja datang kerja walaupun sudah banyak kes Covid-19 di situ. Tidak benarkan bekerja dari rumah itu satu hal, bukan semua kerja boleh WFH, tetapi ada juga yang positif Covid-19 diberi amaran jangan kuarantin lama-lama. Selain tempat kerja pun tidak disanitasi.
Seorang pekerja makanan segera bercerita, ada rakannya positif Covid-19, dia yang merupakan kontak rapat rakannya itu, mohon cuti untuk melakukan swab test dan mahu kuarantin kendiri kerana bimbang dijangkiti tetapi majikannya marah-marah. Bukan setakat disuruh bekerja macam biasa, tempat itu pun tidak ditutup sementara untuk sanitasi.
Kita boleh membaca rungutan seperti ini dalam media sosial, majikan tetap berkeras mahu pekerja bekerja tanpa memikirkan risikonya. Dalam pada itu, amat menghairankan ada juga menyifatkan pekerja yang mengadu hal ini tidak bersyukur kerana masih punya kerja dalam pandemik sebegini.
Siapa yang tidak mahu bekerja pada waktu kritikal ini? Semua mahu menyara keluarga. Tetapi jika ia mengancam nyawa sendiri termasuk keluarga manakala angka kes serta kematian terus mencanak, varian Covid berbahaya pula muncul satu persatu, adakah itu berbaloi sedangkan ia boleh dielakkan jika majikan beri kerjasama.
Ini tidak, yang mahu menjalani kuarantin pula, diugut akan diberhentikan. Macamlah pekerja yang minta dijangkiti. Kalau majikan yang kena, mahu setahun dia cuti.
Sebab itu, setiap hari sejak Mei lalu kluster tempat kerja adalah penyumbang terbesar kes harian. Maka pihak berkuasa tolonglah pantau. Pastikan majikan mengikut prosedur ditetapkan. Jangan ada pekerja yang patut kuarantin kerana positif dan punya kontak rapat dipaksa kerja. Kilang, pusat beli-belah dan premis perniagaan yang pekerjanya ramai positif sewajarnya ditutup dulu.
Semua pun lama tahu, frontliners sudah penat, katil dan tong gas oksigen tak cukup, bilik mayat sudah penuh, hospital padat dengan pesakit Covid-19 dan semua ini akan mengakibatkan sistem kesihatan kita lumpuh.
Betul, semua orang sudah letih mendengar cerita sebegini. Semua mahu menjalani kehidupan seperti dahulu. Tapi dengan sikap buruk perangai majikan seperti ini, sampai bila pun tak habis.