AZIZULHASNI meraih pingat perak acara keirin sebentar tadi sekali gus memperbaiki pencapaian gangsa di Rio lima tahun lalu. |
JAGUH berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara selepas menamatkan saingan di kedudukan kedua pada aksi final acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebentar tadi.
Pada saingan tersebut, pecutan awal yang dilakukan pelumba Great Britain, Jason Kenny memerangkap semua pelumba sekali gus dia berjaya mempertahankan emas yang diraihnya lima tahun lalu sewaktu di Olimpik Rio, Brazil.
Biarpun ia kekecewaan buat Azizulhasni yang berkobar-kobar untuk memburu emas pertama negara, namun pingat perak yang diraih di Velodrom Izu itu memperbaiki pencapaiannya di temasya Olimpik Rio lima tahun lalu apabila sekadar meraih gangsa.
Sementara itu, juara dunia 2020 dari Belanda, Harrie Lavreysen terpaksa berpuas hati meraih gangsa apabila menamatkan saingan tempat ketiga keseluruhan.
Pingat perak yang dimenangi pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu juga adalah pingat terakhir buat kontinjen negara yang membawa pulang dua pingat pada saingan kali ini selepas beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbang gangsa sebelum ini.