Redzuan Sahkan Muhyiddin Persembah Surat Peletakan Jawatan Esok menghadap Agong

Seorang pemimpin Bersatu hari ini mengesahkan Muhyiddin Yassin akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.



Kedudukan Perdana Menteri terus menjadi perhatian ramai apabila media melaporkan beliau dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin ini.

Ia susulan khabar angin yang menjelaskan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin menghampiri garisan penamat dan bakal melepaskan jawatan tidak lama lagi. Menerusi perkembangan yang sama, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Redzuan Md Yusof, memaklumkan perkara itu kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya ahli parlimen Alor Gajah itu, perkara berkenaan dimaklumkan Muhyiddin dalam pertemuan dengan ahli parlimen Bersatu selama kira-kira dua jam sebentar tadi.

“Esok akan ada mesyuarat khas kabinet sebelum Muhyiddin menghadap Agong untuk mempersembahkan surat peletakan jawatan,” katanya.

Kata Mohd Redzuan, Muhyiddin sudah mencuba sebaik mungkin untuk mempertahankan keadaan dan kedukan kerajaan namun ikhtiarnya itu tidak membuahkan hasil.

Menurut menteri tugas-tugas khas itu, peletakan jawatan adalah pilihan terakhir yang ada pada Muhyiddin selepas bilangan ahli parlimen yang menyokongnya menyusut dan tidak mencukupi di Dewan Rakyat.


MOHD. REDZUAN MD. YUSOF
“Maka ini adalah tindakan yang betul dan terhormat untuk Muhyiddin mengikut perlembagaan, dan terserah keapda Agong sama ada mahu menerima peletakan jawatan tersebut atau tidak,” katanya.

Kelihatan sangat tenang

Pun begitu menurut Mohd Redzuan pihak yang bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Muhyiddin dan PN tidak boleh bergembira atau meraikan perkembangan berkenaan buat masa ini.

Katanya berdasarkan maklumat yang diterima blok Bersatu masih memiliki sokongan terbesar berbanding mana-mana kumpulan lain termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim atau pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad.

Umno juga, katanya, tidak mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli parlimen.

“Maka terserah kepada Agong untuk menggunakan kebijaksanaan baginda bagi membuat keputusan. Kami mengikut perlembagaan, tak boleh membantah.

“Kami katakan kami ada 100 ahli parlimen, terpulang kepada Agong untuk putuskan,” katanya.


AHMAD Faizal Azumu melambai ke arah media selepas keluar dari kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam.
Ditanya suasana semasa Muhyiddin mengumumkan rancangannya itu di depan ahli-ahli parlimen Bersatu, Mohd Redzuan berkata, ahli parlimen Pagoh terbabit tidak menunjukkan perasaan sedih.

“Tidak… dia sangat tenang, dia seorang yang berprinsip,” katanya.

Untuk rekod sekiranya peletakan jawatan itu diperkenankan Agong selepas ini, Muhyiddin akan mencatat sejarah sebagai perdana menteri paling singkat di Malaysia setakat ini.

Dia – yang sebelum ini menjadi timbalan presiden Umno sebelum dipecat parti terbabit – dilantik menjadi perdana menteri hasil Langkah Sheraton kira-kira 15 bulan lalu.

Rekod perdana menteri paling singkat sebelum ini dicatatkan Mahathir yang memimpin kerajaan PH selama 22 bulan sebelum dia meletak jawatan pada 23 Feb tahun lalu. – MalaysiaKini

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.