Ramai warga asing cuba nasib walk-in, SPRM nafi ada PPV ambil rasuah RM80

PEKERJA warga asing yang membanjiri Pusat Konvensyen Midlands Seksyen 7, Shah Alam, semalam langsung tidak mengendahkan SOP ketika menunggu mendapatkan vaksin Covid-19.



SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) menafikan dakwaan wujud unsur bayaran rasuah RM80 bagi mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7 di sini.

SPRM berkata, sebaliknya hasil risikan pihaknya mendapati punca kesesakan adalah daripada tindakan pekerja asing hadir tanpa janji temu bagi mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin.

Katanya, selain itu, terdapat masalah pada sistem di mana temujanji untuk individu juga terselit di PPVIN itu.

“Tohmahan yang mengatakan bayaran rasuah RM80 perlu dibayar kepada penjaga pintu untuk dapat masuk adalah tidak benar.

“Berdasarkan risikan juga mendapati kes bukan berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvesyen Shah Alam (SACC) seperti didakwa sebaliknya di PPVIN Pusat Konvensyen Midlands,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Gambar yang tular sebelum ini.
Terdahulu, tular sebuah video di laman sosial yang mendakwa segerombolan individu bukan warganegara Malaysia telah beratur panjang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga menyebabkan kesesakan di PPV Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam.

Dikatakan juga, penjaga pintu di PPV tersebut telah mendapat sejumlah wang rasuah sebanyak RM80 bagi setiap orang yang ingin mendapatkan vaksin.

Mengulas lanjut, SPRM menjelaskan PPV Midlands dijadikan Pusat Program Vaksin Industri (PPVIN) iaitu sebahagian daripada inisiatif Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.