Penggali kubur terima Anugerah Tokoh Frontliner Khas

ROSLEE dianugerahkan sebagai Tokoh Frontliner Khas Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021H.



Putrajaya: Penggali kubur Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Gombak, Roslee Ali, 63, dianugerahkan sebagai Tokoh Frontliner Khas Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021H.

Pemilihan Roslee dibuat atas sumbangan beliau dalam pengebumian jenazah Covid-19 sejak pandemik melanda negara serta pernah menyediakan sekitar 40 liang lahad dalam sehari.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, Anugerah Tokoh Frontliner ini adalah kategori baharu diperkenalkan tahun ini dan anugerah diberikan kepada Roslee itu atas sumbangan dan jasa bakti beliau sejak terbabit dalam kerjaya diceburinya bermula 2011.

Menurutnya, mantan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), Mejar Jeneral (B) Datuk Kamarudin Mamat dianugerahkan Tokoh Utama Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021H.

Katanya, selain Tokoh Utama Ma'al Hijrah JAWI turut mengadakan empat anugerah lain terdiri dari dua kategori petugas barisan hadapan (frontliner), korporat, mualaf dan pendakwah kreatif bagi menerima Anugerah Khas Ma'al hijrah 1443H/2021M.

"Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021M memuktamadkan pemilihan pemenang pada 26 Julai lalu dengan mengambil kira sumbangan individu terbabit dalam bidang masing-masing ke arah memperkukuhkan syiar dan syariat Islam di negara ini," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Pemenang dipilih berdasarkan beberapa kriteria seperti daya kepimpinan dan teladan, sumbangan kepada masyarakat, sumbangan kepada organisasi dan sumbangan kepada peringkat negeri.

Menurutnya, kesemua pemenang anugerah menerima hadiah wang tunai, sijil dan plak.

Senarai pemenang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri secara langsung menerusi rancangan Assalamualaikum TV Al-Hijrah dan Facebook rasmi Jawi hari ini.

Mohd Ajib berkata, Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Labuan, Dr Ismuni Bohari dianugerahkan Tokoh Frontliner 1 dan Roslee penerima Anugerah Frontliner ke dua.

Katanya, bagi penerima Tokoh Korporat dianugerahkan kepada usahawan yang juga Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Ramly Mokni.

"Tokoh Pendakwah Kreatif dianugerahkan kepada pengacara dan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya dan Tokoh Mualaf, Pembantu Mubaliligh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Nur Maisarah Leong Yoke Keen," katanya.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.