Penduduk Haiti trauma gempa bumi ragut banyak nyawa |
PORT-AU-PRINCE: Kesedihan penduduk Haiti akibat kematian Presiden Jovenel Moise yang mati dibunuh pada bulan lalu belum pun terubat apabila gempa bumi kuat berukuran 7.2 skala Richter melanda negara ini semalam.
Pasukan kecemasan bekerja keras melakukan operasi mencari serta menyelamat (SAR) mangsa selepas gempa kuat yang berlaku pada pukul 8.30 pagi itu menyebabkan sekurang-kurangnya 1,297 orang maut dan lebih 5,700 orang cedera.
Pusat gempa dikesan pada jarak 160 kilometer dari barat Port Au Prince, menyaksikan banyak infrastruktur musnah termasuk kediaman penduduk.
Agensi perlindungan awam Haiti memaklumkan, antara bangunan yang runtuh termasuk sekolah dan premis perniagaan, menyebabkan banyak penduduk terperangkap.
Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan jumlah korban dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.
ORANG ramai melihat kesan kemusnahan selepas gempa melanda Jeremie, di barat daya Haiti. - AFP |
Beberapa jam selepas gempa berlaku, kerajaan Haiti mengumumkan jumlah korban meningkat kepada 304 orang dari 29 yang dilaporkan sebelum ini.
Ketua agensi perlindungan, Jerry Chandler berkata, sejumlah hospital di kawasan yang teruk terjejas berdepan kesukaran untuk merawat mangsa kerana keadaan infrastruktur yang rosak, selain kekurangan bekalan perubatan.
Katanya, hospital di tiga bandar iaitu Pestel, Corailles dan Roseaux sudah pun penuh dan tidak mampu menampung kemasukan pesakit.
ISYTIHAR DARURAT
Kementerian Kesihatan mengerahkan semua petugas perubatan ke lokasi terjejas, namun bakal berdepan kesukaran susulan ancaman kumpulan pemberontak.Satu-satunya jalan yang menghubungkan ibu kota dengan bahagian selatan negara ini adalah melalui Martissant iaitu kawasan yang dikuasai pemberontak sejak awal Jun lalu.
Perdana Menteri Haiti, Ariel Henry menegaskan, bantuan perubatan perlu juga dihantar dan bagi memastikan keadaan selamat, kawalan keselamatan yang ketat akan dilaksanakan oleh pasukan berkuasa, selain mengisytiharkan darurat selama sebulan.
KETAKUTAN
Gempa bumi kuat itu mencetuskan ketakutan kepada penduduk selepas negara ini pernah dilanda gempa bumi berukuran 7.0 Richter pada 2010, menyebabkan lebih 200,000 terbunuh dan 300,000 cedera.Gempa itu juga menyebabkan lebih separuh juta penduduk Haiti kehilangan tempat tinggal dan biarpun lebih 10 tahun berlalu, proses pembangunan masih dilakukan sehingga kini. – AFP