Bayi pramatang 6 bulan dijangkiti Covid-19 meninggal selepas 2 jam lahir

BAYI pasangan Abd. Jalil Mohd. Taha dan Azreen Farina Azmi dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Chegar, Mukim Tunjang, Kubang Pasu, Kedah untuk dikebumikan, kelmarin.



KUBANG PASU: Keceriaan sepasang suami isteri menimang cahaya mata kelima bertukar duka setelah bayi perempuan mereka meninggal dunia dua jam selepas dilahirkan kerana dijangkiti Covid-19 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini kelmarin.

Bapa bayi itu, Abd. Jalil Mohd. Taha, 56, berkata, isterinya, Azreen Farina Azmi, 38, yang positif Covid-19 melahirkan bayi pramatang enam bulan itu kira-kira pukul 5 pagi namun disahkan meninggal dunia pada pukul 7 pagi.

“Saya sangat bersyukur dengan kehadiran bayi ini dan diharap dapat menceriakan lagi keluarga kami.

“Bagaimanapun selepas dua jam bayi seberat 500 gram dan cukup sifat ini dilahirkan, saya dimaklumkan dia meninggal dunia.

“Saya terkilan tidak sempat menatap wajah bayi tersebut kerana tidak dapat ke hospital disebabkan masih dikuarantin di rumah,” katanya di sini semalam.

Pasangan itu mempunyai empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan berusia antara empat tahun hingga 19 tahun.

Ab. Jalil yang tinggal di Taman Sinaran Indah, Jitra, di sini memberitahu, dia pada mulanya menghantar isterinya ke sebuah pusat bersalin swasta di sini selepas mengadu sakit hendak bersalin pada 28 Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya, isterinya didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan di pusat bersalin itu dan kemudian dihantar ke HSB untuk rawatan lanjut.

Katanya, ketika itu difahamkan isterinya dijangkit Covid-19 tahap empat, namun masih lagi sedar.

“Isteri saya menerima rawatan di HSB sehingga isteri saya bersalin pada pukul 5 pagi semalam (kelmarin). Kesihatan isteri saya pula dilaporkan stabil selepas bersalin.

“Saya reda dengan pemergian anak kami yang kelima itu walaupun tidak dapat menatap wajahnya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan (PA) Mohd. Shukri Shuib berkata, jenazah bayi perempuan itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chegar, Mukim Tunjang di sini.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.