BEBERAPA anggota keselamatan melakukan kawalan di SJR. |
LANGKAWI: Berapa penduduk di Taman Nilam di sini dikesan cuba meloloskan diri selepas kawasan tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa hari ini.
Penduduk terbabit yang menaiki kenderaan masing-masing membawa bersama pakaian dan haiwan peliharaan sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tindakan penduduk terbabit dikesan apabila mereka ditahan di sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan sejak 27 Julai lalu di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, sebanyak tiga buah kenderaan penduduk di kawasan itu telah diperiksa di SJR itu kerana cuba meloloskan diri dan mereka diarahkan berpatah balik.
“Kita dapat kesan mereka turut membawa beg baju dan binatang peliharaan, jadi kita arahkan mereka berpatah balik,” katanya yang ditemui di Subtek PKPD Taman Nilam di sini hari ini.
Menurut Shariman, pasukan keselamatan juga mengadakan satu lagi SJR di jalan dalam taman tersebut bagi meningkatkan kawalan.
Jelas beliau, pihaknya akan menutup lorong tikus yang berpotensi dijadikan jalan oleh penduduk untuk meloloskan diri.
“Penguatkuasaan di kawasan PKPD di Taman Nilam melibatkan pengawasan di perairan berhampiran kerana didapati mempunyai pangkalan nelayan yang digunakan oleh penduduk tempatan,” katanya.
Tambahnya, seramai 80 anggota pasukan keselamatan ditugaskan mengawal di kawasan tersebut dalam tempoh 24 jam setiap hari sehingga 20 Ogos ini.
Jelasnya, pasukan keselamatan itu membabitkan polis, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).