Pemenang pingat emas China kumpul duit rawat ibu

Seorang pelatih menggosok kepala Quan Hongchan selepas atlet tersebut menjuarai acara 10 meter platform individu wanita hari ini. - AFP




TOKYO – Aksi penerjun muda China, Quan Hongchan yang mengutip 10 markah penuh dalam acara 10 meter platform individu wanita menarik perhatian ramai, hari ini.

Hongchan, 14 tahun muncul atlet termuda China di Tokyo, menewaskan rakan senegara Chen Yuxi di kedudukan kedua dengan catatan mata keseluruhan menakjubkan 466.20 mata.

Terdapat netizen mengaitkan remaja itu mirip watak dalam filem CJ7 kerana prestasi yang ditunjukkannya begitu luar biasa.

“Abang syak budak China yang menang emas itu CJ7 agaknya atau geng-geng alien (makhluk asing). Patut bertanding kategori robot-robot bukan kategori manusia,” ulas Shaiful Nizam menerusi laman Facebook miliknya.

Menurut laporan iNEWS, Hongchan yang lahir di Kampung Maihe, Daerah Mazhang terpilih menyertai pasukan kebangsaan negaranya kurang dalam tempoh setahun.

Persekitaran hidup yang sukar menjadikan remaja itu kuat berusaha dan dia mula bergiat dalam sukan papan anjal ketika berusia tujuh tahun sebelum meningkat dengan dengan cepat dan menyertai Pasukan Wilayah Guangdong pada 2018.

Keadaan kesihatan ibunya yang tidak menentu dikatakan menjadi pendorong dan motivasi kepada anak petani itu untuk berusaha keras menempa kejayaan dalam arena sukan.

“Kos rawatan ibu agak tinggi. Jadi saya rasa harus berusaha menjana pendapatan untuk membantu keluarga,” katanya dalam temu ramah bersama media tempatan sebelum kejohanan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut jurulatih di Sekolah Sukan Zhanjiang bernama Chen Huaming, atlet cilik itu disifatkan mempunyai semangat juang yang tinggi, kuat berusaha dan berani.

Beliau ketika ditemu bual agensi berita Xinhua berterima kasih kepada bekas jurulatih dan kedua ibu bapa yang banyak menyokongnya selama ini.

“Saya ingin berterima kasih kerana menggalakkan saya untuk sentiasa bertenang dan beraksi dengan bebas tanpa mengira sama ada saya mendapat pingat atau tidak.

“Saya tidak fikir saya seorang yang luar biasa. Saya kurang bijak dalam pelajaran. Jika anda tanyakan saya soalan (akademik) tiada apa-apa dalam fikiran saya,” ujarnya merendah diri. – K! ONLINE

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.