TERTUDUH, Sal Kim Kok (berbaju putih) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol seorang kanak-kanak perempuan di Johor Bahru, Johor. |
JOHOR BAHRU: Seorang pekerja am rumah kebajikan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol seorang kanak-kanak perempuan di rumah kebajikan itu, Mei lalu.
Tertuduh, Sal Kim Kok, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.
Mengikuti pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia 11 tahun dengan meramas kedua-dua belah dada, menyentuh kemaluan dan mencium kanak-kanak itu sebelum merogol mangsa.
Lelaki itu didakwa terhadap tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap mangsa dengan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan, jika disabit kesalahan.
Tertuduh juga berdepan pertuduhan merogol mangsa dengan pendakwaan mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew manakala Kim Kok tidak diwakili peguam.