Muhyiddin ketika berucap sewaktu menyampaikan perutusan khas di stesyen televisyen tempatan sebentar tadi. |
‘Tiada isu peletakan jawatan’ – Muhyiddin
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada seluruh rakyat kerana terpaksa menjelaskan kedudukan kerajaan Perikatan dan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ketika negara masih bergelut menangani Covid-19.
“Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sekalian sihat wal afiat.
“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada saudara dan saudari sekalian kerana dalam keadaan negara kita sedang berhadapan dengan cabaran besar menangani pandemik Covid-19, saya terpaksa tampil menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri sebentar tadi.
Beliau turut menjelaskan untuk tidak mengorbankan prinsip dan membelakangi sumpah jawatan dalam menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara,melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.
“Saya doakan agar rakyat dan negara kita terus dilindungi oleh Allah dan kepada-Nya jua lah kita berserah,” katanya.
Pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa |
Malah Perdana Menteri berkata, beliau juga akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa kini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.
“Begitu juga menerusi bantuan-bantuan yang sudah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.
“Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya petugas barisan hadapan supaya terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab anda tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh,” katanya katanya dalam Perutusan Khas hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.