New Zealand mengaku ‘lockdown’ tapi gagal tangani varian Delta

New Zealand cuba melakukan Lockdown bagi 1 kes Varian Delta



WELLINGTON – New Zealand mengakui hari ini bahawa strategi ‘Sifar Covid’ yang diguna pakai mungkin tidak lagi wajar ketika wabak varian Delta terus merebak.

Menteri Tindak Balas Covid-19, Chris Hipkins berkata, sebanyak 21 lagi kes dikesan dalam kluster yang muncul di Auckland pada minggu lalu sekali gus mengakhiri tempoh enam bulan tanpa jangkitan tempatan dan mencetuskan perintah berkurung koronavirus di seluruh negara.

Menurut Hipkins, varian Delta yang sangat mudah berjangkit menjadikan wabak kali ini lebih sukar dibendung dan menimbulkan ‘persoalan besar’ mengenai strategi perang Covid-19 negara itu.

“Skala berjangkit dan kecepatan penyebaran virus ini telah menyebabkan kita berada dalam keadaan tertekan,” katanya kepada stesen televisyen TVNZ.

New Zealand sebelum ini dipuji kerana kejayaan strategi mengekang Covid-19 yang menyaksikan hanya 26 kematian direkodkan di negara itu yang mempunyai lima juta penduduk.


JALAN RAYA lengang ketika perintah berkurung dilaksanakan di Wellington pada 18 Ogos lalu. - AFP
Jirannya, Australia juga melaksanakan strategi Sifar Covid dan sama-sama kecewa kerana kes varian Deltanya terus meningkat.

Wabak di New Zealand membayangkan kelemahan usaha vaksinasi negara itu yang perlahan dan mendorong tuduhan bahawa kerajaan menjadi lalai setelah kejayaan awal menangani wabak Covid-19.

Wabak varian Delta kini berjumlah 72 kes aktif dengan 66 daripadanya direkodkan di Auckland dan enam di Wellington.

Kes positif telah direkodkan di beberapa lokasi sibuk termasuk sekolah, gereja dan pasar raya, manakala pasukan kesihatan memeriksa status hampir 9,000 kontak rapat.

Perintah berkurung Covid-19 di New Zealand akan berakhir esok, namun Hipkins membayangkan sekatan itu mungkin dilanjutkan di Auckland walaupun ditarik balik di tempat-tempat lain. – AFP

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.