LIM KIT SIANG |
PETALING JAYA: Negara memerlukan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggalas tugas dan membawa agenda baharu di dalam usaha mengakhiri pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menjelaskan, segala usaha menjadikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri bukan sahaja mengulangi kesilapan kerajaan Perikatan Nasional (PN), malah, mengembalikan imej ‘kakistokrasi’ dan kleptokrasi seperti mana kerajaan sebelum ini.
“Jika tiada perubahan, Malaysia akan mencapai angka 15,000 kematian dan jumlah jangkitan lebih 1.7 juta menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
“Malah, tiada satu perubahan berlaku untuk menangani pandemik Covid-19 sama ada daripada segi dasar ekonomi dan pembangunan negara, sekali gus menjerumuskan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut mengulas perkembangan politik negara ekoran desas-desus peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada hari ini.
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md.Yusof mengesahkan bahawa Muhyiddin akan menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Nasib Muhyiddin dan masa depan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terumbang-ambing ekoran 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan sekali gus menyebabkan blok kerajaan hilang majoriti untuk menguasai kerajaan.
Justeru, veteran DAP tersebut berkata, Malaysia memerlukan Perdana Menteri dan kepimpinan yang baharu untuk membawa impian Malaysia sebagai sebuah negara cemerlang dan disegani oleh seluruh dunia.
“Sejak 1970, keluaran dalam dasar negara (KDNK) Malaysia bertambah 90 kali namun negara lain seperti Indonesia meningkat 117 kali, Vietnam 122 kali, China 163 kali. Ini menunjukkan Singapura dan Vietnam telah melangkaui kepesatan KDNK sepanjang 50 tahun lalu.
“Kami mahu Perdana Menteri dan kepimpinan baharu untuk membawa negara ke era cemerlang menjelang tahun 2070 dan bukannya sibuk memikirkan survival kuasanya di Parlimen dan mempertahan kuasa di saat negara berhadapan pandemik Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE