Siasatan awal mendapati, pasangan itu baru sahaja berkenalan selama dua bulan tetapi sudah beberapa kali menyewa hotel bajet. (Gambar Hiasan) |
Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) pada Rabu, 11 Ogos 2021, menahan pasangan kekasih yang disyaki berkhalwat di sebuah hotel bajet di Jalan Putra, Mergong.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya bertindak melakukan pemeriksaan selepas mendapat maklumat awam dan berjaya menahan pasangan terbabit pada jam 4.20 pagi.
Siasatan awal mendapati, pasangan itu baru sahaja berkenalan selama dua bulan tetapi sudah beberapa kali menyewa hotel bajet terutamanya pada waktu cuti dengan alasan untuk berjumpa melepaskan rindu, selain mahu berehat.
Difahamkan, wanita berusia 30-an itu sudah berkahwin namun tidak dikurniakan cahaya mata dan mendakwa dia dalam proses bercerai dengan suaminya. Manakala teman lelakinya pula berusia 33 tahun dan masih bujang, bekerja di sebuah kilang di Jitra.
Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber: Harian Metro