MUHYIDDIN Yassin sempat melambai ke arah media yang berhimpun di luar pekarangan kediaman beliau di Bukit Damansara. |
KUALA LUMPUR: Sebuah kenderaan membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari pekarangan kediamannya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara pada pukul 10.48 pagi.
Kenderaan itu dipercayai membawa Perdana Menteri ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini susulan kemelut politik negara.
Bagaimanapun, pada kebiasaannya Muhyiddin akan melakukan sesi menghadap Seri Paduka bagi mempersembahkan kertas Kabinet sebelum mengadakan Mesyuarat Kabinet pada setiap hari Rabu.
Semalam, UMNO memilih mengambil berpendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO yang berlangsung secara maya.
Katanya, MT UMNO sepakat menarik sokongan kepada PN dan Muhyiddin. – UTUSAN ONLINE