Merata-rata jenazah terbungkus kaku

Gambar hiasan.



PETALING JAYA – Seorang doktor menggambarkan suasana di Jabatan Kecemasan di hospital tempatnya bertugas tidak ubah seperti Tsunami Covid-19.

Pakar bius dikenali sebagai Dr. Hana Hadzrami berkata, pesakit yang baru meninggal dunia terpaksa diuruskan dengan pantas dan dialih ke tepi demi memindahkan pesakit kritikal yang sedang menunggu di kerusi roda ke atas katil.

“Tsunami Covid-19 kali ini amat menyedihkan. Tidak pernah ED (Jabatan Kecemasan) kami dilanda seteruk ini. Merata-rata jenazah terbungkus kaku tidak sempat diangkut ke bilik mayat.

“Kadangkala berselang-seli dengan katil dan kanvas pesakit yang masih bernyawa. Mereka yang masih hidup perlu diselamatkan segera dan yang meninggal dunia harus memberi laluan. Itulah putaran kehidupan,” tulisnya dalam hantaran Facebook beliau baru-baru ini.

Ahli Medical Mythbusters Malaysia itu terfikir andainya dirinya serta rakan-rakan seperjuangan dijangkiti Covid-19 yang teruk ketika usia masing-masing menginjak 40-an dan 50-an harapan untuk dibawa ke Unit Rawatan Rapi amat tipis.

Menurutnya, ini kerana, sumber yang ada hanya cukup menyelamatkan pesakit-pesakit Covid-19 muda kritikal berumur lingkungan 20 hingga tahun.

“Campur lagi kebarangkalian jika doktor kontrak meletakkan jawatan beramai-ramai. Siapalah hendak merawat kami dan pesakit warga emas yang lain. Barangkali kami pun bakal dibungkus ikat tepi juga. Insaf rasa.

“Varian baru ini bukan calang-calang ganasnya tuan puan. Usah ambil risiko langgar prosedur operasi standard (SOP) atau ambil ubat mengarut. Jaga diri semua dan bertawakal,” ujarnya.

Hantaran itu mendapat 7,600 tanda suka dan dikongsi lebih 3,100 kali dengan kebanyakan pengguna media sosial berdoa agar petugas barisan hadapan dilindungi Tuhan selain ada yang turut berkongsi momen sedih kehilangan insan tersayang.

“Terima kasih doktor dan semua barisan hadapan. Moga sentiasa dalam lindungan Allah dan diberi kesihatan tubuh badan,” komen Siti Faridah Morni.

“Adik saya di Jabatan Kecemasan tiga hari tidak dapat masuk wad sebab penuh. Meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru dan kuman sudah masuk dalam darah. Meninggal dunia di bawah khemah atas katil kanvas,” komen Nuha Fadhwa.

“Doktor, hari ini suami saya meninggal dunia. Sayu hati ini. Usia baru 43 tahun meninggalkan saya dan empat anak. Doakan saya kuat doktor,” ujar Nancy Endi. – K! ONLINE

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.