Merangkak untuk bantuan, warga emas mati di wad Covid-19 selepas tak dipeduli

Tangkap layar video menunjukkan lelaki itu cuba berdiri dengan memaut pada katil sebelum rebah. Dia dilaporkan meninggal dunia 40 minit kemudian.

Jabatan Kesihatan Negeri(JKN) Kedah siasat video tular lelaki maut jatuh di lantai hospital

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga emas dilihat merangkak atas lantai dan cuba memaut pada katil untuk berdiri sebelum rebah, tanpa seorang pun datang membantunya.

Kejadian itu didakwa dirakam di sebuah wad hospital di Kedah dengan video berkenaan kini tular dan mencetuskan kemarahan warganet.

Lelaki itu dikatakan terbaring di lantai tanpa sesiapa pun datang menjenguknya sehinggalah menghembuskan nafas terakhir kira-kira 40 minit kemudian.


Beberapa video menunjukkan lelaki yang sangat lemah itu cuba berdiri dengan memaut katil pesakit lain di lokasi dipercayai wad Covid-19.

Video itu kemudian menunjukkan lelaki berkenaan terbaring kaku di lantai, manakala beg kencingnya bersebelahan.

Kejadian dikatakan berlaku di hospital kerajaan berdasarkan jubah hijau dipakai pesakit lain yang sering dilihat di lokasi seperti itu.

Mesej yang menyusuli video itu mendakwa seorang pesakit telah memaklumkan jururawat bertugas mengenai warga emas berkenaan, namun hanya disuruh “memeriksa sama ada lelaki itu masih hidup atau tidak.”


Mesej itu turut mendakwa lelaki berkenaan dibiarkan terbaring selama 40 minit selepas rebah, tanpa sesiapa datang memeriksanya.

Dia kemudian disahkan sudah meninggal dunia.

Seorang pegawai kesihatan Kedah memberitahu FMT, perkara itu sedang disiasat dan maklumat lanjut akan diberikan kemudian.

FMT juga menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kedah Dr Mohd Hayati Othman untuk ulasan lanjut. - FMT

JKN Kedah nafi biar pesakit Covid-19 mati tak dipedulikan di lantai hospital

Tangkap layar Video yang tular mendakwa lelaki itu rebah dan disahkan meninggal dunia selepas tidak dipedulikan kakitangan bertugas.
ALOR SETAR: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah Dr Othman Warijo menafikan dakwaan bahawa petugas di wad Covid-19 Hospital Lama Sungai Petani lambat memberi tindak balas dan rawatan kepada seorang pesakit sehingga dia meninggal dunia di lantai wad berkenaan.

Beliau ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai insiden berkenaan dan telah mengadakan perbincangan dengan petugas-petugas terlibat untuk melengkapkan siasatan.


“Kami telah mengadakan perbincangan dengan pegawai dan jururawat terlibat dan kita sedang sediakan laporan (lengkap)…ya, kejadian berlaku di Hospital Lama Sungai Petani di wad Covid-19 dan memang betul pesakit itu meninggal dunia.

“Tapi (maklumat awal) yang mengatakan tindak balas petugas lambat itu tidak benar, kami akan keluarkan kenyataan lengkap untuk pihak media nanti,” katanya.

Hari ini, satu klip video berdurasi 38 saat tular menerusi aplikasi WhatsApp yang menunjukkan seorang pesakit lelaki kelihatan lemah dan berada dalam keadaan melutut di lantai hospital dan cuba berpaut pada katil untuk bangun.

Video itu dipotong dan kemudian sambungannya menunjukkan lelaki berkenaan sudah terbaring kaku dengan beg urin masih berada di sebelahnya, manakala seorang pesakit dilihat cuba menghampiri untuk memeriksa mangsa.


Menurut individu yang menularkan video itu, pesakit Covid-19 itu dibiarkan mati tanpa sebarang bantuan daripada petugas di wad berkenaan sehingga dia disahkan sudah meninggal dunia 40 minit kemudian.

Menurut dakwaan individu itu lagi, hampir setengah jam pihak hospital sama ada doktor atau jururawat bertugas tidak mempedulikan pesakit berkenaan dan tidak mengambil tindakan serta-merta.


“Apabila pesakit lain melaporkan kejadian ini kepada jururawat terdekat, jururawat dengan perasaan sambil lewa dan leka memberitahu pelapor tersebut untuk memeriksa sendiri pesakit yang jatuh itu sama ada masih bernyawa ataupun tidak,” dakwa individu tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Adzli Abu Shah memberitahu pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis mengenai kejadian berkenaan. - FMT

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Kickbola Network dan langgan saluran Telegram BeritaUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.