Maybank Singapore saman suami, anak Shahrizat RM8 juta

Pengerusi National Feedlot Corp Sdn Bhd Mohamad Salleh Ismail dan anak-anaknya memperoleh pinjaman daripada Maybank Singapore Ltd untuk membiayai pembelian apartmen mewah di Orchard Scotts dan Marina Bay.

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



3 beranak itu dikatakan gagal membayar pinjaman perumahan untuk dua kediaman mewah.



PETALING JAYA: Maybank Singapore Ltd memfailkan saman terhadap suami dan anak bekas menteri wanita, keluarga dan masyarakat Shahrizat Abdul Jalil kerana dikatakan gagal membayar dua pinjaman perumahan berjumlah hampir RM8 juta.

Mohamad Salleh Ismail, pengerusi National Feedlot Corp Sdn Bhd dan dua anaknya Wan Shahinur Izran serta Wan Izzana Fatimah Zabedah dinamakan sebagai defendan dalam saman itu, yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Julai lalu.

Menurut laporan The Edge Markets, pernyataan tuntutan dilihat portal itu mendakwa Maybank Singapore memohon penghakiman mahkamah bagi hutang berjumlah SGD2.53 juta (RM7.9 juta) kepada bank itu.

Plaintif mendakwa ketiga-tiga defendan telah gagal, tidak mempedulikan dan/atau cuai membayar jumlah dituntut, yang mengakibatkan bank itu mencari penyelesaian menerusi mahkamah di Malaysia.

Bagi pinjaman perumahan pertama, Maybank Singapore memberi pinjaman SGD4.37 juta pada 2009 kepada defendan-defendan untuk pembelian apartmen di Orchard Scotts.

Bagaimanapun, ketiga-tiga defendan gagal membuat bayaran bulanan SGD7,225, dengan jumlah yang perlu dibayar setakat 22 Jun 2018 adalah sebanyak SGD3.94 juta termasuk faedah.

Selepas defendan gagal membayar jumlah dituntut itu, Maybank Singapore menggunakan haknya untuk merampas seterusnya menjual hartanah itu menerusi bidaan dengan harga SGD3.2 juta.

Bagaimanapun, nilai jualan itu tidak cukup untuk melunaskan jumlah penuh masih terhutang, yang setakat 29 Dis tahun lalu adalah sebanyak SGD1.37 juta.

Bagi pinjaman perumahan kedua pula, Maybank Singapore memberi pinjaman SGD5.38 juta pada 2010 kepada Mohamad Salleh Ismail dan Wan Shahinur Izran untuk pembelian satu kondominium di Marina Bay.

Mereka didakwa gagal membuat bayaran bulan berjumlah SGD8,700, dengan jumlah keseluruhan tunggakan setakat 4 Jun 2018 adalah sebanyak SGD5.06 juta.

Maybank Singapore kemudian menggunakan haknya untuk merampas dan menjual hartanah itu dengan harga SGD4.68 juta dengan baki hutang sebanyak SGD1.17 juta.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.