Kisah Pak guard ini cemerlang UPSR, PT3, SPM, STPM... sanggup tinggal di asrama, naik van pekerja demi pengalaman makan gaji

Foto kanan Danial bekerja sebagai pengawal keselamatan, foto kiri Danial (kanan) bersama ibu menunjukkan keputusan SPM 8A.

KEPUTUSAN peperiksaan seorang anak muda ketika dia di sekolah rendah sehingga sekolah menengah bukan biasa-biasa.

Buktinya, dia meraih 5A bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 9A - Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), 8A - Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 3.58 untuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).


Namun tindakan pemuda yang memiliki keputusan peperiksaan cemerlang itu memilih untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan, ternyata mengejutkan banyak pihak.

Pemuda berkenaan, Muhammad Danial Rohaizat berkata, dia mula bertugas sebagai pengawal keselamatan di Klang, Selangor, sejak empat bulan lalu.

Siapa sangka anak muda yang berusia 20 tahun itu sanggup merantau sejauh beratus kilometer dari kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan demi mencari rezeki dan pengalaman.

"Kebiasaannya sesetengah anak muda kurang berminat untuk kerja macam ni, malah antara mereka tak pandang pun. Orang pandang guard ni tahap akademiknya rendah.

"Tapi saya sukarela kerja guard sebab nak cari pengalaman. Saya merancang untuk sambung belajar di universiti, sebab tu nak kerja dan simpan duit," katanya kepada mStar.


Keputusan cemerlang STPM.
Mengulas lanjut, pemuda yang mesra disapa Danial ini berkata, dia berminat untuk menceburi bidang keusahawanan dan mahu menyambung pengajian dalam jurusan itu.


"Saya memang buat bisnes sejak zaman belajar. Saya ada ternak itik di kampung, bermula 100 ekor itik telur dan kini beralih kepada ternakan kira-kira 50 itik daging.

"Selain itu, saya juga jadi ejen jual susu segar. Setiap minggu saya ke kilang susu, borong kira-kira 200 botol dan jual semula.

"Purata keuntungan bulanan saya dianggarkan RM1,500. Saya tak minta duit mak ayah, untung bisnes saya gunakan untuk belanja, membeli barang keperluan di rumah dan buat simpanan," katanya sambil menambah bapanya merupakan peniaga pakaian terpakai (bundle).


Danial mengusahakan ternakan itik telur dan itik daging.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, dia mahu mencari pengalaman sebagai pengawal keselamatan dengan bekerja makan gaji.

"Dah biasa kerja sendiri. Jadi saya mahu kerja bawah orang dan bertugas dalam persekitaran di mana persepsi segelintir masyarakat bahawa guard adalah kerja di tahap rendah.


"Saya nak cari pengalaman duduk di luar, tanpa ahli keluarga, hidup berdikari. Dapat kumpul duit sendiri dengan bekerja makan gaji tanpa keluarkan modal.

Orang pandang guard ni tahap akademiknya rendah. Saya sukarela kerja guard sebab nak cari pengalaman.

DANIAL

"Tapi kerja guard ni sama konsepnya macam bisnes. Saya jadi guard, kerja dengan syarikat sekuriti dan kilang tempat saya bekerja adalah klien kepada syarikat sekuriti tu.

"Jadi, saya perlu betul-betul jaga apa yang klien nak. Kilang akan bagi company saya (sekuriti) keuntungan, dan saya sebagai pekerja kena tahu apa keperluan klien, sama macam bisnes," tambahnya.


Foto kanan Danial (kiri) bersama seorang pelanggan yang membeli susu segar.
Tidak mahu sekadar fokus pada bisnes susu segar dan ternakan itik, anak muda yang suka bersenam ini mahu menumpukan pemasaran digital pada masa akan datang.

"Kerja sebagai guard tetap mencabar iaitu masa, waktu kerja saya 12 jam sehari dan kira-kira dua atau tiga jam untuk perjalanan pergi dan balik dari rumah ke tempat kerja dengan pengangkutan yang disediakan," katanya yang menetap di asrama pekerja di Petaling Jaya.


Danial (kiri) bersama rakan setugas.
Danial berkata, fokus 10 tahun pertama akan datang adalah mengumpul pendapatan pasif sambil memetik kata-kata penulis buku kewangan terlaris dan terkenal, Robert Kiyosaki.


"Buku Rich Dad Poor Dad tulisan Robert Kiyosaki mengubah mindset saya. Beliau kata orang miskin bekerja untuk dapatkan wang, dan orang kaya, wang bekerja untuk mereka.

"Contohnya saya buat video YouTube, perlu sekali je tapi income berterusan. Saya boleh melakukan macam-macam perkara lain. Itulah impian besar saya untuk 10 tahun pertama," ujarnya yang menjadikan ikon pelaburan dan hartanah, Faizul Ridzuan sebagai idola.

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Kickbola Network dan langgan saluran Telegram BeritaUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.