Kerajaan berhati-hati sebelum beri kemudahan individu lengkap vaksin

MUHYIDDIN YASSIN



PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat keputusan memberikan kemudahan kepada individu yang lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini termasuk kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi, namun ia perlu diperhalusi sebaiknya bagi memastikan usaha kerajaan memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Insya-Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang menerima vaksinasi lengkap dan membantu sektor ekonomi kita dengan mengambil kira keselamatan rakyat,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Muhyiddin pada masa sama menekankan, strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar.

Beliau menjelaskan, lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai yang terlindung, lebih kurang tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara.

“(Ini termasuk) lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka dengan selamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.