Kanak-kanak lelaki maut dihanyut arus deras dalam longkang

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemui mati lemas ketika mandi di dalam longkang besar .



JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun mati lemas dipercayai ketika berenang di dalam longkang besar di sekitar Jalan Padi Mahsuri, Bandar Baru Uda, di sini petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan telah terjun untuk berenang di dalam longkang besar terbabit ketika aliran airnya deras akibat hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, rakan-rakan mangsa telah menasihatinya supaya tidak berenang di dalam longkang besar itu.

“Mangsa bagaimanapun tidak menghiraukan nasihat rakannya apabila tetap terjun untuk bermain air tanpa menyedari arus deras dalam longkang tersebut.

“Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 5.15 petang berkenaan kejadian lemas membabitkan seorang kanak-kanak lelaki lemas di sebuah longkang besar di sekitar Jalan Padi Mahsuri, Bandar Baru Uda.


LONGKANG besar yang menjadi lokasi seorang kanak-kanak mati lemas akibat dihanyutkan arus deras di.
“Pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah berjaya mengeluarkan mangsa daripada longkang tersebut dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rupiah, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian.

Jelasnya, sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah ditemukan dalam kejadian tersebut dan kertas siasatan kematian mengejut (SDR) telah dibuka untuk meneruskan siasatan.

“Pihak polis menyeru orang ramai supaya memantau pergerakan anak-anak agar insiden yang sama tidak menimpa keluarga mereka,” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.