Jangan beri peluang penjawat awam terlibat dadah, Banyak lagi orang hendak bekerja - Ayob khan

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay



JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berharap mana-mana penjawat awam yang ditangkap terutamanya dalam kesalahan membabitkan jenayah dadah tidak lagi diberi peluang untuk bertugas.

Beliau berkata, langkah itu perlu dikenakan terutamanya terhadap penjawat awam yang memiliki rekod kesalahan sama dan pernah dikenakan tindakan atas kesalahan yang dilakukan.

“Kes dadah tak payah bagi peluang, kalau dapat kita buang terus, banyak lagi orang nak masuk (sebagai) penjawat awam, orang tak ada kerja pun ramai.

“Kita tunggu siasatan yang mungkin akan memakan masa, tindakan nak buang orang (tamatkan kerja) pun bukan senang akan ambil masa prosesnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memaklumkan kejayaan kes tangkapan melibatkan 68 individu termasuk enam penjawat awam yang dicekup berhibur, terlibat dadah dan minuman keras di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini, Jumaat lalu.


AYOB Khan Mydin Pitchay (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi melibatkan sebuah pusat hiburan termasuk menahan enam penjawat awam yang sedang khayal pada sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru.
Dalam serbuan pada pukul 1.30 pagi itu, Ayob Khan berkata, enam penjawat awam yang ditahan berusia lingkungan 26 hingga 43 tahun, manakala 62 lagi individu termasuk 11 wanita warga asing berusia 17 hingga 45 tahun.

Polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM151,765 termasuk 2.46 kilogram serbuk ekstasi; 45 biji ekstasi; 27 biji pil eramin 5; 10.5 gram syabu; 27 gram ganja dan satu gram ketamin hasil operasi membabitkan Pasukan tindakan khas IPK Johor bersama-sama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

“Ketika serbuan dibuat, penjawat awam ini sedang khayal. Mereka sedang berhibur, mengambil dadah dan minum minuman keras. Ada antara mereka pernah ditahan bagi kes berkaitan dadah dan dua daripadanya pernah ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK),” katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, polis turut menangkap seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dikenali dengan panggilan ‘doktor’ di lokasi sama yang disyaki merupakan pembekal dadah ke pusat-pusat hiburan.

Polis turut merampas wang tunai RM1,092 selain menyita sebuah kereta jenis BMW dengan nilai keseluruhan RM297,857 termasuk dadah.

Beliau berkata, pusat hiburan yang beroperasi 24 jam itu juga beroperasi tanpa lesen hiburan awam yang sah dan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati 41 individu positif dadah jenis ampethamine, methamphetamine dan ketamin selain seorang daripada penjawat awam yang ditahan itu pula ditangkap atas kesalahan memiliki dadah.

Kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga 12 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952; Akta Imigresen, Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor dan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit. -UTUSAN ONLINE

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.