Gorske sudah makan 32,340 burger seumur hidup |
Seorang lelaki dari Wisconsin yang pernah memegang Rekod Dunia Guinness bagi memakan burger Big Mac paling banyak seumur hidup, dilaporkan mencipta rekod baharu.
Lapor portal UPI, Donald Gorske yang berusia 50 tahun kini sudah makan sebanyak 32,340 burger dari restoran Mcdonald itu.
Gorske yang tinggal di bandar Fond du Lac berkata, dia makan kira-kira dua burger sehari dan menjadikan amalan itu sebahagian daripada rutinnya sejak 1972.
Sebelum ini, Rekod Dunia Guinness mengiktiraf Gorske sebagai pemegang rekod bagi memakan burger Big Mac paling banyak seumur hidup pada tahun 1999.
Kini organisasi antarabangsa itu memaklumkan Gorske sudah memecahkan rekod dicatatkan sendiri dengan memakan sebanyak 32,340 burger secara keseluruhannya.
“Gorske tidak pernah memaklumkan kepada saya mengenai obsesinya terhadap burger. Dia makan Big Mac setiap hari.
“Kadang kala, saya juga membelikannya burger tanpa menyedari ia akan berterusan selama-lamanya,” kata isteri Gorske, Mary kepada Rekod Dunia Guinness.
Sementara itu, Gorske berkata, dia masih menyimpan semua bungkusan dan resit burger yang dibelinya.
Tambahnya, dia sentiasa sihat dengan mengelak daripada memakan kentang goreng dan melakukan aktiviti senaman berjalan kira-kira 9.6 kilometer (km) setiap hari. – AGENSI