China larang karaoke lagu ancam keselamatan negara

China menyenarai hitam beberapa lagu yang dianggap mengancam keselamatan negara. -The Brag Media

China sekat lagu yang 'mengancam keselamatan negara' di pusat karaoke



BEIJING – China akan mengenakan larangan lagu-lagu karaoke yang dianggap membahayakan keselamatan negara untuk dinyanyikan.

Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan berkata pihaknya akan membuat satu senarai hitam bagi lagu-lagu yang dilarang kerana mengandungi kandungan terlarang seperti membahayakan keselamatan dan perpaduan negara, mencetuskan kebencian terhadap sesuatu etnik atau mempromosikan perjudian dan jenayah.

China kerap menyekat lagu yang dianggap tidak bersesuain dengan fahaman politik daripada khidmat penstriman muzik domestiknya.

Dalam satu nota yang disiarkan semalam, kementerian itu bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana sesebuah lagu boleh mengancam keselamatan negara atau mendedahkan kandungan yang sudah disenarai hitam.

Pada tahun 2019, laman penstriman muzik China menyekat lagu-lagu protes tidak rasmi, termasuk lagu daripada filem Hollywood popular, Les Miserables bertajuk ‘Do You Hear The People Sing’ serta beberapa lagu oleh pemuzik rock China, Li Zhi yang merujuk kepada insiden tunjuk perasaan di Dataran Tiananmen pada 1989.


Terdapat lebih 50,000 pusat karaoke dan lokasi hiburan di China. - FOTO Agensi
Peraturan itu yang akan berkuatkuasa bermula 1 Oktober depan memerlukan pusat karaoke untuk menjalankan audit keatas katalog lagunya.

Kementerian juga mungkin akan menubuhkan satu pusat pakar untuk menilai seleksi lagu.

“Memandangkan terdapat hampir 50,000 pusat karaoke di seluruh negara, penguatkuasaan undang-undang adalah sesuatu yang sukar,” demikian kata seorang pengguna aplikasi sosial Weibo.

Peraturan baharu itu turut menjadi bualan dalam kalangan pengguna aplikasi itu.

“Budaya kita kini adalah 15 tahun terkebelakang. Kita ke pusat karaoke untuk menghiburkan hati, bukan mahu menyanyikan lagu kebangsaan,” kata seorang pengguna Weibo.

“Perlukah saya menyanyi lagu positif sehingga 10 kali agar diri saya menjadi positif?,” kata seorang lagi pengguna. -AFP

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.