Bahaya kongsi nombor TAC Banking, 2 lelaki senang diperdaya RM70,000

Jangan Sesekali memberikan nombor TAC Perbankan anda!

Diperdaya sindiket nombor TAC, 2 lelaki rugi lebih RM70,000



KEPALA BATAS: Dua lelaki masing-masing pekerja swasta dan pesara kerajaan kerugian RM72,579 selepas ditipu sindiket kod pengesahan transaksi (TAC), dalam kejadian di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata dalam kejadian pertama membabitkan pekerja swasta berusia 40 tahun, lelaki itu memaklumkan dia menerima panggilan telefon memperkenalkan diri sebagai pegawai khidmat pelanggan daripada syarikat Bigpay.

“Mangsa dimaklumkan bahawa kad ATM banknya yang mempunyai pautan sistem Bigpay perlu ditukarkan kepada kad ATM yang baharu bagi membolehkan dia menggunakan akaun Bigpay tanpa sekatan had penggunaan.

“Lelaki itu yang percaya telah memberikan butiran akaun perbankan miliknya dan turut berkongsikan nombor TAC kepada suspek dan setelah itu dia dimaklumkan oleh pihak bank bahawa wang sebanyak RM13,579 miliknya telah dipindahkan ke akaun lain, sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dalam kejadian membabitkan pesara kerajaan berusia 61 tahun pula, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
Noorzainy berkata, pesara kerajaan itu menafikannya sebelum panggilan tersebut disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis yang mendakwa mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan memang dikehendaki polis.

Katanya, mangsa yang takut dan panik telah menyerahkan maklumat perbankannya termasuk kata laluan dan nombor TAC kononnya bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak polis.

“Selepas memberikan semua maklumat perbankan, mangsa menerima mesej daripada pihak bank memaklumkan wang simpanannya sebanyak RM59,000 telah dipindahkan ke dua akaun bank berbeza dan lelaki itu cuba menghubungi suspek yang menelefonnya namun gagal,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan polis kini sedang mengesan sindiket terlibat dalam penipuan membabitkan dua mangsa berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.