Vaksin COVID-19: Pfizer mohon kelulusan FDA untuk dos ke-3

Beberapa negara telah meluluskan suntikan ke-3 untuk meningkatkan perlindungan terutamanya golongan rentan. - Foto fail/REUTERS



SYARIKAT farmaseutikal Pfizer memohon kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat bagi suntikan ketiga atau 'booster shot' vaksin COVID-19.

Pfizer menjelaskan suntikan ketiga mampu mendorong peningkatan imunisasi tiga kali ganda terhadap koronavirus.

Pfizer-BioNTech menyasarkan untuk menyelesaikan penyerahan dokumen permohonan kelulusan menggunakan suntikan ketiga pada individu berusia 16 tahun ke atas pada akhir minggu ini.

Pentadbiran Amerika Syarikat sebelum ini umum sudah bersiap sedia untuk memberikan dos ketiga dari vaksin Pfizer dan Moderna pada pertengahan September.

Langkah ini akan diteruskan sekiranya FDA memutuskan suntikan ketiga diperlukan.

Pfizer berkata, 306 individu diberikan dos ketiga vaksin antara lima hingga lapan bulan selepas dua dos menunjukkan tahap imunisasi meningkat tiga kali ganda lebih tinggi selepas suntikan kedua mereka.

Kajian yang belum diterbitkan itu turut mendapati kesan sampingan dos ketiga serupa dengan dos kedua antaranya keletihan ringan dan sederhana dan sakit kepala.

Beberapa negara telah meluluskan suntikan ketiga untuk meningkatkan perlindungan terutamanya golongan rentan.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpendapat data mengenai manfaat dan keselamatan berkaitan dos ketiga belum dapat disimpulkan.

WHO turut berharap suntikan ketiga vaksin COVID-19 dapat ditangguhkan bagi memastikan semua negara mendapat akses vaksin yang sama rata.

Pfizer mendapat kelulusan penuh penggunaan vaksin COVID-19 buatannya, Isnin lalu.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.