Angka kematian setiap hari di negara ini telah lebih 200 orang sehari.- Gambar hiasan |
KALAU kita bayangkan sebuah pesawat membawa 360 penumpang dan kru tiba-tiba terhempas di satu lokasi di negara ini kelmarin, pastinya tergambar betapa ngeri dan dahsyatnya tragedi yang berlaku.
Tentu cerita dan kisah kejadian itu, kita akan perkatakan berhari-hari, malah berbulan lamanya.
Namun, kita seperti tidak ambil endah apabila negara mencatat 360 korban akibat wabak Covid-19 pada Sabtu lalu.
Kita seakan tidak kisah lagi dengan jumlah kematian yang meningkat pada kadar antara 100 hingga 250 setiap hari sejak awal Julai lalu.
Mungkin juga sebab kita semua sudah penat dan lesu dengan angka-angka yang dibentangkan setiap hari berkaitan pandemik ini sejak Mac tahun lalu lagi.
Tetapi cubalah kita gambarkan sekali lagi, jika ada berbaris pesawat di udara yang membawa antara 100 hingga 250 penumpang dan setiap satu akan terhempas setiap hari tanpa henti.
Begitulah apa yang kita terpaksa lalui pada hari-hari mendatang dalam tempoh terdekat sama ada suka atau tidak.
Hari ini, kita mendapat khabar berita ada kenalan, rakan, jiran, saudara-mara dan ahli keluarga menjadi korban keganasan virus korona ini.
Esok kita akan menerima perkhabaran sedih lagi. Seolah-olah tidak ada berita menggembirakan untuk kita baca dan dengar pada masa hari ini.
Dalam keadaan di sekeliling kita ada lebih 200,000 kes aktif Covid-19 (yang dikesan) dan lebih 1,000 rakan taulan di unit rawatan rapi, kita seolah-olah tidak mampu lagi untuk lari daripada terjajah dengan wabak ini.
Bagaimanapun hidup terpaksa diteruskan. Harapan untuk kembali kepada keadaan seperti dahulu masih ada. Cuma masa yang sukar untuk kita tentukan.
Apa yang penting, setiap orang perlu kuat dan terus tabah menghadapi bencana wabak ini.
Dalam setiap peperangan pasti ada yang terkorban, cedera dan cacat, namun hakikatnya ramai lagi yang terselamat.
Seperti dunia ini yang kita sedari sudah lama tercedera akibat peperangan, pergolakan, krisis dan pelbagai bentuk bencana tetapi akhirnya banyak yang mampu bangkit dan pulih kembali.
Semoga kita dapat membina semula kerosakan dan kemusnahan yang berlaku. Kuatkanlah semangat sebagaimana kentalnya ahli politik yang sentiasa mencari-cari ruang dan peluang sama ada untuk merebut kuasa atau mempertahankan kuasa.