Walaupun sudah lengkap divaksin, Individu perlu tetap patuh pada SOP. |
‘Vaksin elak saya jadi lebih teruk’
Penerima 2 dos vaksin Covid-19 masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana ia bukan jaminan seseorang bebas dijangkiti virus tersebut. Langkah pencegahan asas seperti memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, penjarakan fizikal dan kurangkan pergerakan mesti terus diamalkan. Rata-rata individu yang masih lagi dijangkiti Covid-19 meskipun sudah menerima suntikan dua dos vaksin menyifatkan mereka kurang bergejala selain simptom dialami lebih ringan.
Seorang pekerja swasta, Ibrahim Mohamed, 37, berkata, dia yang dijangkiti Covid-19 pada 16 Julai lalu tidak mempunyai sebarang simptom berbanding rakannya yang belum menerima vaksin.
“Saya dijangkiti Covid-19 di tempat kerja meskipun sudah melengkapkan dua dos vaksin pada Mei lalu. Bagaimanapun, keadaan saya baik-baik sahaja dan tidak mengalami gejala teruk.
“Apa saya boleh katakan, vaksin itu telah selamatkan saya daripada jadi lebih teruk,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
IBRAHIM semasa melengkapkan dua dos suntikan vaksin pada Mei lalu. |
“Malangnya, dua rakan saya yang masing-masing berusia 35 dan 53 tahun itu belum lagi menerima suntikan vaksin, sebab itu saya katakan, ia (vaksin) telah selamatkan saya daripada jadi lebih teruk,” jelasnya.
Menurutnya lagi, walaupun sudah lengkap divaksin, dia tetap patuh pada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan dirinya menjangkiti insan lain.
“Sudah lengkap divaksin tidak menjadikan diri saya lebih kuat berbanding orang lain, SOP kena sentiasa patuh kerana saya masih boleh jadi pembawa kepada orang lain,” jelasnya.
Bagi seorang lagi eksekutif swasta, Syamsurrijal Mahmud, 27, menyifatkan, simptom dialaminya yang sedang positif Covid-19 lebih ringan dan tidak teruk.
“Dalam rumah ketika ini ada 11 orang dan tujuh daripadanya positif termasuk saya, tetapi saya hanya mengalami demam ringan dan tidak mempunyai gejala lain yang berpanjangan.
“Berbeza ahli keluarga lain yang belum divaksin, simptom dialami lebih banyak termasuklah hilang deria bau, sakit kepala dan batuk berpanjangan,” jelasnya. -K! ONLINE