Akibat kluster pekerja tiada gejala, 2 lokaliti di Kuantan kena PKPD |
PUTRAJAYA: Dua lokaliti terletak dalam daerah Kuantan, Pahang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Taman Balok Makmur dan Kampung Seberang Sungai Ular di Mukim Sungai Karang.
PKPD itu dilaksanakan ekoran Kluster Industri Hulu Balok yang diumumkan kelmarin daripada asalnya seorang warga tempatan, tiada gejala disahkan positif Covid-19 pada 10 Ogos.
Kes pertama ialah kontak rapat yang melalui ujian saringan, namun, sudah mengakibatkan 67 orang lain dijangkiti termasuk bukan warganegara di Taman PSJ Sungai Karang Damai.
Menurut Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad, turut dikenakan PKPD di negeri itu ialah Flat Damai Taha, daerah Temerloh ekoran Kluster Rantau Kenanga yang telah menyebabkan hampir 300 dijangkiti termasuk lokaliti berjiran.
Selebihnya 11 lokaliti lagi ujar Rodzi, terletak di Sabah antaranya ialah Kampung Tangkuyan, Tongod, Bahagian Sandakan serta Taman Millenium dan Taman Kinabutan Ria, Tawau selain dua lokaliti dalam daerah Lahad Datu iaitu kawasan Perumahan Ladang Cantawan, Silabukan dan Perumahan Lestari Felda Sahabat 48.
“Baki enam lagi dalam daerah Kota Belud melibatkan lokaliti di kawasan Kampung Kulambai, Kampung Kulambai Kupang, Kampung Kulambai Dundau, Kampung Labuan, Kampung Ambong Tolus dan Kampung Teguson,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, tiga lokaliti di negeri tersebut yang dikenakan PKPD sejak 8 Ogos lalu disambung lagi sehingga 4 September ini iaitu Bandar Sinsuran, University Condominium Apartment Fasa 2 dan Rumah Murah Kepayan di daerah Kota Kinabalu.
Bagaimanapun ujar beliau, satu lagi lokaliti di Sabah ditamatkan PKPD esok seperti dijadualkan iaitu di Kampung Lohan 1, daerah Ranau, manakala di Pahang membabitkan Kuala Tahan, daerah Jerantut serta Taman Tualang Indah, Taman Sri Layang dan Taman Rimba, Mentakab, daerah Temerloh.
Sementara satu lagi lokaliti di negeri itu yang melibatkan Felda Sungai Panching Selatan, Daerah Kuantan ditamatkan hari ini lebih awal selain di Perak iaitu di Kampung Orang Asli Sungai Lah, Chenderiang, Batang Padang.
Baki berakhir esok meliputi Taman Sri Pangkor, Rumah Murah Pangkor, Ladang Kong Heap Lee, Kampung Tengah, Flat Taman Desa Pangkor dan Taman Desa Pangkor di Pulau Pangkor, Daerah Manjung; Tapak Bina Horizon dan Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajak, Daerah Kinta serta Kampung Perlok dan Kampung Perlok Baru, Daerah Batang Padang. -UTUSAN ONLINE