11 tahun Allah pinjamkan dia, saya tumpang tuah dia – Shuib

SHUIB bersendirian di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak selepas selesai pengebumian arwah isterinya. Siti Sarah Raissuddin.




“Sebelas tahun Allah pinjamkan dia (Siti Sarah) dan sepanjang itu saya menumpang tuah dia sehinggalah saya berada di tahap sekarang”.

Itu luahan hati Shuib, dalam hantaran yang dibuat secara langsung di Instagram hari ini.

Kata Shuib, Allah lebih sayangkan isterinya itu.

Katanya, dia hanya sekadar menumpang tuah seorang isteri yang taat, setia, tidak pernah mengeluh dan tidak malu bersuamikan lelaki sepertinya.

Dia juga melahirkan rasa syukur sejak arwah Siti Sarah dimasukkan ke hospital, mereka yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan isterinya itu tidak pernah putus termasuk daripada insan yang tidak mereka kenali.

Shuib memberitahu, sepanjang 11 tahun perkahwinan mereka Siti Sarah mengajarnya untuk tidak berkira dengan duit supaya mereka tidak berkira-kira untuk bersedekah.

“Saya ikut kata-kata dia hingga jadi amalan dan itulah kebaikan yang dia ajar saya dan anak-anak. Sebab itu saya reda dengan pemergian dengan dia,” katanya.

Penyanyi kesayangan ramai itu menghembuskan nafas terakhir tepat pukul 5.13 pagi tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Cheras.

Allahyarham yang dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 6 Ogos lalu akibat oksigen dalam badan tidak stabil terpaksa ditidurkan pada Jumaat lalu untuk menjalani pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungan.

Jenazah dikafan dan dimandikan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) sebelum dibawa ke tanah perkuburan dengan van jenazah.

Jenazah penyanyi, Siti Sarah Raissuddin, 36, selamat dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak. – UTUSAN

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.