Shuib syukur anak-anak faham ibu mereka sudah tiada. |
Kuala Lumpur: Selain pemergian isteri tercinta, Siti Sarah Raissuddin hari ini, ujian yang turut dihadapi Shuib, 38, ialah bagaimana hendak menjelaskan kepada tiga anaknya bahawa ibu mereka sudah meninggal dunia.
Selepas Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir jam 5.13 pagi hinggalah selesai pengebumiannya pada jam 1.20 petang hari ini, tiga anak mereka iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Matin, 6, tidak tahu ibu mereka sudah tiada.
Shuib menerusi Instagram Live kira-kira jam 6 petang hari ini berkata, sepanjang perjalanan pulang selepas selesai urusan pengebumian, dia tidak henti berfikir apakah jalan terbaik untuk menerangkan kepada mereka mengenai pemergian Siti Sarah.
"Ketika arwah meninggal dunia, anak-anak masih tidur. Jadi, saya tidak kejutkan mereka. Sebaik tiba di rumah selepas urusan pengebumian, saya cekalkan hati untuk tidak bercakap perkara ini terlebih dulu.
"Ketika masuk ke dalam rumah, saya seboleh mungkin cuba mengelak untuk bertemu anak-anak tapi tak sempat kerana puteri kedua saya iaitu Talita terus bertanya adakah saya sudah menerima gambar adik bongsunya, Ayash Affan. Kemudian saya beritahu saya perlu mandi terlebih dulu kerana ada urusan di luar sebentar tadi," katanya.
Shuib berkata, dia mandi agak lama kerana cuba mencari jalan bagaimana untuk beritahu anak-anak supaya mereka boleh menerima ketentuan ini.
"Kemudian ketika mahu ambil air sembahyang, ibu mentua saya hubungi dan meminta saya terangkan perkara ini kerana anak-anak boleh tahu berita ini menerusi YouTube.
"Jadi ini adalah dugaan paling berat perlu saya lakukan. Saya cekalkan hati dan turun panggil anak-anak. Kebetulan ketika membuka TV, tajuk beritanya adalah Siti Sarah sudah tiada. Jadi, terus anak-anak bertanya sama ada betul atau tidak berita ini," katanya.
Enggan membiarkan anak-anaknya terus berteka-teki, Shuib berterus terang dan menjelaskan perkara sebenar yang ibu tercinta kini sudah tiada.
"Saya beritahu kepada mereka kalau sebelum ini kita buat solat hajat untuk mohon supaya ibu balik, tapi sekarang ini ibu tidak akan balik rumah lagi. Ketika itu semua diam. Ada yang faham, ada yang tidak faham.
"Saya cuba terangkan satu persatu kepada mereka. Saya beritahu kita berdoa dengan Allah supaya ibu balik, tapi ibu bukan milik kita sebaliknya ibu milik Allah. Jadi Allah tak boleh pulangkan kepada kita sebab Allah terlalu sayangkan dia, mungkin dia terlalu baik. Jadi Allah nak ambil dia dan kita tidak akan jumpa dia lagi.
"Waktu itu anak-anak semua menangis teresak-esak, tapi lama-lama mereka faham. Jadi saya beritahu kepada mereka yang ibu pesan mahu anak-anaknya jadi anak yang soleh dan solehah. Ibu juga beritahu harta yang dia miliki adalah anak-anaknya. Ibu mahu anak-anak turut pandai mengaji dan tidak tinggal solat," katanya.
Shuib berkata, dia bersyukur kerana tiga anaknya faham dengan apa yang disampaikan.
Dia kemudian mengajak mereka mengerjakan solat Asar, cuma bezanya kali ini tiada lagi solat hajat.
"Ketika berdoa pula, saya meminta pertolongan Allah untuk bimbing saya dan anak-anak menjadi seperti Siti Sarah. Dia nak sangat anak-anak dia menjadi anak yang tidak kedekut dan sentiasa berbuat baik sesama manusia. Dalam doa itu semua anak-anak saya menangis. Allahuakbar, insya-Allah mereka faham," katanya.
Sesi Instagram Live itu ditonton lebih 500,000 pemilik akaun Instagram yang rata-ratanya turut bersedih atas pemergian Siti Sarah selain memberi sokongan terhadap Shuib dengan ujian dihadapinya itu.
Terdahulu Harian Metro melaporkan sebaik Siti Sarah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, jam 1.20 petang hari ini, tiga anaknya itu masih belum tahu ibu mereka sudah meninggal dunia.
Siti Sarah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM jam 5.13 pagi, hari ini.
Sebelum itu, Allahyarham dimasukkan ke ICU hospital berkenaan selepas tahap oksigen menurun pada 4 Ogos lalu. Pada hari yang sama dia sepatutnya memotong gelang kuarantin.
Siti Sarah kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan pada 6 Ogos lalu dan arwah selamat melahirkan bayi lelaki diberi nama Ayash Affan pada jam 5 petang.
Terdahulu, Siti Sarah bersama Shuib dan tiga anak mereka termasuk pembantu rumah disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu.