Wanita dikesan positif selepas suntik vaksin

Petugas kesihatan memantau seorang wanita yang didapati positif Covid-19 dalam program suntikan vaksin di Dewan Arena Bentong di Bentong semalam.




BENTONG – Orang ramai yang hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin di Dewan Arena Bentong di sini semalam gempar apabila seorang daripada individu yang datang bagi mendapatkan suntikan vaksin didapati positif Covid-19.

Difahamkan wanita berkenaan hadir kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan berada di situ sehingga pukul 2.30 petang bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Bagaimanapun, wanita berkenaan difahamkan mengalami batuk yang semakin teruk selepas menerima suntikan vaksin membuatkan pegawai kesihatan bertugas melakukan pemeriksaan seterusnya melakukan ujian calitan.

Sejurus mendapati ujian calitan adalah positif Covid-19, wanita berkenaan kemudiannya dibawa ke hospital oleh sebuah ambulans.

Wanita berkenaan yang dikatakan tinggal di Taman Harmoni di sini mengalami demam dan gejala batuk sejak seminggu lalu.


Difahamkan, kira-kira 1,200 orang hadir mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di Dewan Arena Bentong semalam dan program suntikan di dewan berkenaan diteruskan lagi hari ini.


Sementara itu Kosmo! tidak dapat mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kejadian terbabit daripada Jabatan Kesihatan apabila Pengarah Kesihatan Pahang baharu dijadual mula bertugas esok.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.