Carl memuat naik sekeping gambar di laman Instagram menunjukkan dia menemui gelandangan warga emas yang dikenali sebagai Pak Cik Abdul Hadi lewat petang tadi. |
PETALING JAYA – Usahawan dan pensohor media sosial, Carl Samsudin akhirnya mengadakan pertemuan empat mata dengan gelandangan warga emas yang dikenali sebagai Pak Cik Abdul Hadi, hari ini.
Carl melalui hantaran terbaharu di laman Instagram miliknya memuat naik sekeping gambar menunjukkan gambar dirinya duduk bertinggung seraya memerhatikan pak cik tersebut yang dilihat seperti mengatakan sesuatu sambil memejamkan matanya.
“Saya minta maaf,” tulisnya ringkas dalam kapsyen gambar tersebut lewat petang tadi.
Carl yang didakwa memalukan gelandangan warga emas berkenaan pada Selasa lalu menyatakan permohonan maaf secara terbuka melalui laman Instagram miliknya.
Warga emas berkenaan menerusi sebuah klip video berkata, dia tidak terasa hati dengan sikap Carl dan turut mengucapkan terima kasih kepada netizen yang membela dan memberi sokongan kepada dirinya. – K! ONLINE