Pokok bunga ros yang dirampas selepas PGA menjumpai sebuah lori di tepi jalan di Gual Tinggi, Rantau Panjang semalam. |
RANTAU PANJANG – Seorang pemandu lori sanggup meninggalkan kenderaan yang dipandunya bersama muatan pokok bunga ros seludup bernilai RM40,000 untuk menyelamatkan diri selepas kegiatannya dikesan oleh Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA) di tepi jalan dekat Kampung Gual Tinggi di sini, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, pihaknya telah menyerbu pangkalan haram Syed Omar di sini semasa kerja-kerja pemindahan pokok-pokok sedang dijalankan, namun pemandu lori itu berjaya melarikan diri bersama muatan di dalamnya.
Menurutnya, semasa serbuan itu dijalankan, sekumpulan penyeludup telah berjaya meloloskan diri ke negara jiran menggunakan perahu dengan menyeberangi Sungai Golok.
“Bagaimanapun, anggota PGA berjaya menjejak lori itu yang telah ditinggalkan di tepi jalan dan pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan terbabit membawa pokok bunga ros seludup yang akan dijual untuk pasaran negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE