Kes 'Brought in Dead' meningkat!

Sebahagian petugas kesihatan melakukan proses pengebumian jenazah yang meninggal disebabkan wabak COVID-19.



Kuala Lumpur: Angka kematian akibat Covid-19 yang dibawa ke hospital atau Brought in Dead (BID) menunjukkan peningkatan, sekali gus berada di tahap membimbangkan.

Berdasarkan laporan harian Ketua Pengarah Kesihatan bermula 15 Julai sehingga 28 Julai lalu, sebanyak 264 kes kematian BID direkodkan di negara ini.

Bagi tempoh sama, Selangor mencatatkan kematian BID tertinggi iaitu 122 kes berbanding negeri lain.

Kes BID merujuk kepada kematian di luar hospital sebelum disahkan disebabkan Covid-19 selepas proses bedah siasat dilakukan.

Selain mutasi varian Delta, antara punca lain kes BID meningkat dipercayai disebabkan peningkatan jangkitan dalam komuniti serta kes sporadik.

Dalam tempoh dua minggu itu, rekod tertinggi BID dicatatkan adalah 33 kes daripada keseluruhan 199 kematian pada 21 Julai lalu dengan Selangor merekodkan 21 kes, Kuala Lumpur (10) dan masing-masing satu kes di Melaka serta Kelantan.


Fenomena Happy Hypoxia komplikasi kandungan oksigen rendah dalam kalangan pesakit Covid-19 yang menjadi pembunuh senyap tidak bergejala.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setiap hari kes BID dalam kalangan golongan muda berusia bawah 30 tahun menunjukkan peningkatan.


"Kebanyakan pesakit muda tidak menyedari mereka sudah dijangkiti Covid-19 kerana tidak bergejala sedangkan paras oksigen dalam badan semakin rendah berikutan kegagalan paru-paru berfungsi dengan baik.



"Keadaan ini dinamakan Happy Hypoxic iaitu pesakit Covid-19 tidak menunjukkan gejala sukar bernafas dan berasa normal walaupun tahap oksigen dalam badan berkurangan," katanya kepada Harian Metro.

Dr Adham berkata, kebanyakan golongan muda menganggap ia adalah perkara biasa sekiranya rasa sedikit penat lebih-lebih lagi jika mereka tidak tahu sudah dijangkiti Covid-19.

"Apa yang boleh disimpulkan Happy Hypoxia boleh menjadi pembunuh senyap kerana apabila masalah kekurangan oksigen tidak dapat dikesan serta dirawat lebih awal, pesakit Covid-19 boleh meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital," katanya.

Selain itu, berdasarkan perkongsian di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdapat tiga senario yang mungkin berlaku kepada pesakit BID.

Menurut KKM, senario pertama apabila pesakit Covid-19 mempunyai gejala seperti demam dan batuk hanya pergi ke klinik untuk mendapatkan ubat.

"Mereka tidak melakukan ujian saringan Covid-19 dan beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah.

"Bagi senario kedua pula, pesakit didapati positif Covid-19 dan sudah dilapor kepada KKM oleh klinik swasta, bagaimanapun pesakit ditemui meninggal dunia di rumah sebelum dihantar ke PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah) atau hospital," katanya.

Bagi senario ketiga, KKM menjelaskan, pesakit mula hilang deria rasa dan sangat letih, tetapi tidak mengambil serius gejala itu.

"Hanya berehat di rumah. Beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah," katanya.

MHC desak penyelesaian jangka pendek kurangi mangsa BID


Kuala Lumpur: Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) risau dengan peningkatan jumlah pesakit Brought in Dead (BID) akibat Covid-19 ke hospital.

Pengasasnya, Dr Khor Swee Kheng berkata, peningkatan kematian BID mencerminkan kemungkinan kegagalan sistem kesihatan dan perlu diberi perhatian serius.

"Kami menggesa penelitian kemungkinan masalah yang membawa kepada BID.

"Kerajaan mesti melakukan kajian yang relevan untuk menentukan sebab khusus dan punca berhubung bilangan pesakit Covid-19 yang tinggi dalam BID.

"Ujian genom akan membantu kita memahami jika terdapat lebih banyak varian di Malaysia. Data butiran daripada penyelidikan ini harus diumumkan kepada masyarakat untuk kesedaran dan analisis," katanya.

Dr Khor berkata, kegagalan sistem seperti kekurangan akses fizikal kepada kemudahan penjagaan kesihatan atau kurangnya pendidikan mengenai gejala Covid-19 harus dikenal pasti dan ditangani terutama di Sabah yang merangkumi 29 peratus daripada semua kes BID.

"Sekiranya wujud masalah ketidakpercayaan dalam sains, profesional kesihatan atau pemerintah (kerajaan) dikenal pasti, maka penyelesaian jangka panjang harus dilaksanakan.

"Media mesti memberikan maklumat mudah difahami supaya rakyat memandang serius Covid-19 terutama bagi mereka yang menjalani kuarantin di rumah," katanya.

Katanya, penilaian yang ketat dan pemantauan lebih baik terhadap pesakit kuarantin di rumah perlu dilakukan segera.

"Secara teori, semua pesakit yang dikenal pasti dengan Covid-19 kini diarahkan ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di mana doktor memutuskan sama ada mereka boleh menjalani kuarantin di rumah atau mesti dimasukkan ke hospital atau pusat kuarantin berisiko rendah.

"Kelewatan tempoh diagnosis dan keputusan kuarantin harus dipendekkan.

"Keputusan melakukan kuarantin di rumah mesti mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai pengurusan Covid-19, tanpa pengecualian atau double standard," katanya.

Katanya, pesakit melakukan kuarantin di rumah dan penjaga mereka harus mendapat pendedahan serta pendidikan yang betul mengenai pemantauan diri terhadap gejala dan segera melaporkan gejala 'red flag' dengan segera.

"Perlu ada sistem yang kukuh dari Pejabat Kesihatan Daerah bagi memeriksa pesakit yang melaporkan gejala red flag bagi menilai sama ada kemasukan ke hospital diperlukan.

"Pengamal sektor kesihatan awam swasta harus dimasukkan dalam pemantauan pesakit kuarantin rumah termasuk mengadakan lawatan ke rumah jika perlu," katanya.

Katanya, oleh kerana ramai pesakit Covid-19 tidak mengalami simptom dan kesihatan cepat merosot, ada kemungkinan ramai antara mereka adalah daripada golongan BID kerana mereka tidak menyedari positif Covid-19 sehingga sudah terlambat.

"Meningkatkan kapasiti ujian kepada golongan disasarkan akan mengenal pasti lebih banyak mereka yang positif dengan Covid-19.

"Ini akan membolehkan kita menguruskan semua kes Covid-19 secara optimum dan betul," katanya.

Katanya, kadar positif untuk ujian Covid-19 di Malaysia secara konsisten berada di atas lima peratus, yang bermaksud Malaysia sedang dalam ujian.

"Oleh itu, peningkatan ujian akan meningkatkan peluang mengesan semua pesakit Covid-19, bukan hanya pesakit dengan gejala sahaja.

"Peningkatan bilangan pesakit Covid-19 berstatus BID mungkin mencerminkan kegagalan sistem (kesihatan).

"Kami mendesak kerajaan untuk menerapkan penyelesaian jangka pendek untuk mengurangi jumlah BID pesakit Covid-19 sambil memberikan strategi jangka panjang untuk meningkatkan akses, kepercayaan dan literasi kesihatan dalam kalangan semua rakyat Malaysia," katanya.

MHC adalah gabungan lebih daripada 50 organisasi dan individu yang mewakili profesional kesihatan di Malaysia.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.