TOKYO: Penganjur Olimpik Tokyo mendedahkan kes pertama COVID-19 dikesan di Perkampungan Olimpik hari ini.
Enam hari sebelum acara pembukaan, penganjur berkata individu yang tidak didedahkan namanya itu didapati positif di Perkampungan Olimpik, di mana ribuan atlet dan pegawai akan berkampung sepanjang temasya.
"Terdapat seorang di Perkampungan. Ia adalah kes pertama dalam Perkampungan yang dilaporkan sepanjang proses saringan.
"Individu itu sudah diasingkan di hotel," kata jurucakap jawatankuasa penganjur Olimpik Tokyo, Masa Takaya.
Media Jepun melaporkan individu positif berkenaan bukan warga tempatan.
Olimpik Tokyo mendapat bantahan masyarakat Jepun yang bimbang dengan gelombang baharu jangkitan.
Ketua penganjur Olimpik Tokyo 2020, Seiko Hashimoto berkata mereka bersedia bertindak sekiranya jumlah kes meningkat.
"Kami melakukan sebaik mungkin untuk menghalang sebarang penularan COVID-19. Jika terjadi juga, kami akan pastikan kami mempunyai rancangan sebagai tindak balas," kata Hashimoto. - AFP