Harimau Malaya selamat melahirkan tiga anak comel di Zoo Taiping

Seekor Harimau Malaya berusia 11 tahun melahirkan tiga anak di Zoo Taiping & Night Safari pada 12 April lalu - Foto BERNAMA


Zoo Taiping and Night Safari, Taiping menerima 'ahli baharu' dengan kelahiran tiga ekor anak Harimau Malaya atau nama saintifiknya 'Panthera Tigris Jacksoni' pada 12 April lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir, berkata anak harimau yang belum diketahui jantina itu dilahirkan dengan anggaran berat 700 hingga 900 gram setiap seekor oleh induk yang turut dilahirkan di zoo berkenaan pada 2009.


"Ini menjadikan Zoo Taiping and Night Safari kini mempunyai lapan ekor Harimau Malaya termasuk anak yang baru dilahirkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata tempoh penceraian susu anak harimau adalah sekitar umur tiga hingga empat bulan dan akan hidup bersama ibunya selama kira-kira 18 bulan.

Sementara itu, pengarah zoo berkenaan, Dr Kevin Lazarus, berkata kelahiran Harimau Malaya itu adalah yang keempat di premis itu selepas yang terakhir pada 2009.

Zoo Taiping and Night Safari kini ditutup kepada orang awam mulai 18 Mac lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kebajikan terhadap haiwan terus dijaga dengan pemantauan secara kerap dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan.


Berdasarkan kepada penemuan awal tinjauan Harimau Kebangsaan 2016-2020 mendapati populasi Harimau Malaya di negara ini berada pada tahap sangat membimbangkan iaitu kurang daripada 200 ekor disebabkan oleh pemburuan haram, kehilangan habitat semulajadi, pencemaran alam dan beberapa faktor lain. - BERNAMA



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.