SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun yang disahkan positif COVID-19 meninggal dunia di King’s College Hospital, London pada Isnin.
Ismail Mohamed Abdulwahab dari Brixton di selatan London dipercayai menjadi pesakit termuda yang maut akibat koronavirus di negara itu.“Dengan penuh dukacita, seorang remaja berusia 13 tahun yang didapati positif COVID-19 telah meninggal dunia. Kami ucapkan takziah kepada keluarganya,” menurut King’s College Hospital dalam satu kenyataan, lapor Reuters.
Dakwa keluarga Ismail, remaja tersebut tidak menghidap sebarang penyakit lain dan disahkan positif koronavirus pada Jumaat lalu, sehari selepas dia dimasukkan ke hospital.
Ismail dimasukkan ke hospital selepas menunjukkan beberapa simptom, termasuk sesak nafas.
“Dia menggunakan ventilator dan kemudian diletakkan dalam keadaan koma oleh pasukan perubatan, namun meninggal dunia pada Isnin pagi.
“Pada pengetahuan kami, dia tidak mempunyai sebarang masalah penyakit. Kami amat berdukacita," kata keluarganya dalam kenyataan tersebut.
Sehingga Isnin, angka kematian yang dicatatkan di UK adalah 1,789 orang dengan 381 kes disahkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Kajian Imperial College London mendapati bahawa golongan warg emas lebih berisiko untuk dijangkiti koronavirus serta memerlukan rawatan kritikal.
Kurang daripada lima peratus kes COVID-19 bawah umur 50 memerlukan rawatan hospital, namun keadaan ini meningkat kepada 24 peratus bagi golongan umur 70-79 tahun.
Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia pada Selasa, statistik negara menunjukkan dua kumpulan umur masyarakat yang paling tinggi kes positif koronavirus adalah dalam lingkungan 26 hingga 30 tahun dan 56 hingga 60 tahun.
Kumpulan muda itu dikaitkan dengan pelajar Malaysia yang pulang dari luar negara manakala kumpulan 50-an itu mungkin terdiri daripada ketua keluarga yang sering keluar membeli barangan keperluan rumah.