Ujian berat buat kanak-kanak berusia dua tahun apabila bukan sahaja menghidap kanser darah, sebaliknya menjadi mangsa termuda positif COVID-19 di Kelantan.
Kanak-kanak itu yang sepatutnya menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), namun terpaksa menangguhkannya selepas ujian darah yang dilakukan mendapati kanak-kanak itu positif COVID-19.Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser (PESONA) menerusi Facebook, semalam.
Menerusi Facebook berkenaan, PESONA memohon orang ramai mendoakan kanak-kanak itu berusia dua tahun empat bulan yang disahkan positif COVID-19.
Kisah kanak-kanak berkenaan tular di Facebook sejak kelmarin dan mengundang simpati masyarakat.
Sementara itu, sumber Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan ketika dihubungi mengesahkan kanak-kanak berkenaan positif COVID-19.
“Mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu. Kanak-kanak itu dijangkiti COVID-19 melalui keluarga,” katanya.