Vietnam tidak akan menandatangani sebarang kontrak eksport baharu sehingga 28 Mac, sebelum ia menyemak sama ada bekalan domestik mencukupi bagi menghadapi COVID-19.
Kerajaan Vietnam dalam kenyataan, berkata eksport beras meningkat 4.2 peratus tahun lalu kepada 6.37 juta tan, menjadikan negara itu pengeksport ketiga terbesar di dunia selepas India dan Thailand.Perdana Menteri, Nguyen Xuan Phuc memberitahu menteri perdagangan, kewangan dan pertanian untuk menyemak semula stok beras negara dan mengemukakan laporan mengenai bekalan dan eksport pada hari Sabtu, menurut kenyataan itu.
“Sementara menunggu laporan, perjanjian semua kontrak eksport beras baru akan digantung, dan kontrak yang sudah ditandatangani akan diuruskan selepas laporan itu tersedia,” kata kerajaan.
Larangan itu akan berkuatkuasa sehingga laporan itu diserahkan pada 28 Mac, katanya.
Langkah yang dilaksanakan Vietnam menarik perhatian pasaran antarabangsa, kata peniaga beras Eropah.
“Jika negara pengeksport makanan mengehadkan bekalan untuk melindungi sekuriti makanan negara mereka, ia akan menjadi satu kebimbangan yang sangat besar.”
Dalam Industri dan Perdagangan berkata, eksport beras Vietnam bagi tempoh dua bulan pertama 2020 menokok 31.7 peratus kepada 928,798 tan berbanding tahun sebelumnya.
“Jika eksport terus meningkat pada tahap ini, Vietnam akan berdepan risiko kekurangan stok bagi penggunaan domestik,” katanya.
Kementerian itu berkata, ia akan mengadakan pertemuan dengan pengeluar dan pengeksport beras utama negara pada hari Khamis untuk menilai bekalan domestik dan kontrak eksport.
Menurut Kementerian Kesihatan, Vietnam melaporkan 134 kes COVID-19 tetapi tiada kematian dengan lebih 1,500 kes yang disyaki berada dalam kuarantin dan dipantau.
Perdana menteri baru-baru ini berjanji untuk melindungi sekuriti makanan semasa wabak itu, lapor media tempatan.
Selasa lalu, pegawai makanan kerajaan memberitahu Reuters bahawa Vietnam akan terus mengeksport beras, meskipun media tempatan dan pegawai kastam melaporkan bahawa larangan kerajaan itu sudah berjalan.
Mesej bercampur menyebabkan kekeliruan di pasaran domestik, kata peniaga beras.
“Kami bimbang dan keliru dengan isyarat daripada penguasa dan sudah menghentikan pembelian beras dari petani sejak Selasa,” kata peniaga yang berpangkalan wilayah An Giang, Mekong Delta. - Reuters
Kementerian Pertanian Jamin Stok beras Cukup
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menafikan laporan mengatakan stok beras negara hanya mampu bertahan selama dua bulan setengah.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam satu kenyataan berkata, stok semasa beras tempatan yang berada di peringkat kilang, pemborong dan peruncit berjumlah 523,000 tan metrik.