KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai sebanyak 3,400 katil di 26 hospital dikhususkan Covid-19.
Manakala 1,892 katil ada di Institut Latihan KKM menjadikan keseluruhannya adalah 5,292 katil.Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terbaru sebanyak 600 katil disediakan di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).
“Katil yang disediakan memadai. Tetapi bak kata orang kita bersedia untuk situasi lebih buruk.
“Kalau perlu kita ada 600 katil di Maeps iaitu 400 di Hall A dan 200 di Hall B.
“Jika kita kurang bersedia maknanya tidak bersedia. Ia boleh dijadikan model contoh penggunaan dewan atau stadium tertutup jika diperlukan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, jika melebihi 1,000 kes sehari pastinya memerlukan katil dan kapasiti sekarang adalah 5,292 katil.
“Jadi apa kita lakukan sekarang adalah bersedia untuk keadaan lebih buruk.
“Esok petang (susunan katil di Maeps) boleh siap.
“Kita jangkakan pertengahan April akan ada peningkatan mendadak kes Covid-19,” katanya.
Persiapan gelombang ketiga COVID-19 giat di MAEPS
Persiapan membendung penularan gelombang ketiga COVID-19 sedang dilakukan, negara ketika ini.Perkara itu dikongsi Kementerian Kesihatan (KKM) di dalam Twitternya, @KKMPutrajaya yang turut memuatnaik beberapa gambar persediaan yang sedang dilakukan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
"Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba melawat MAEPS di Serdang, pagi tadi. MAEPS dalam persiapan akhir sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah. Ia menempatkan 600 katil iaitu 400 untuk pesakit lelaki dan 200 wanita.
"Pusat ini sebagai persediaan sekiranya berlaku gelombang ketiga. Ia akan menempatkan pesakit COVID-19 yang mempunyai gejala berisiko rendah.
Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di MAEPS. - Foto KKM
Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah akan menempatkan 600 katil iaitu 400 untuk pesakit lelaki dan 200 wanita. - Foto KKM
"Manakala pesakit berisiko tinggi terutama mereka yang mempunyai sejarah penyakit kronik ditempatkan di hospital," kata kementerian itu dalam dua ciapan, sebentar tadi.
Menerusi gambar yang dikongsi itu, Dr Adham dilihat sedang meninjau dewan MAEPS dan diberi penerangan oleh beberapa pegawai dipercayai pegawai KKM dan Majlis Keselamatan Negara.
Gambar yang dikongsi menunjukkan, beberapa katil ditempatkan di dalam petakan yang dijadikan seperti bilik dan sekurang-kurangnya dua meja termasuk meja dan kerusi disediakan di dalam dewan berkenaan.