Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis apabila calonnya, Datuk Mohamad Alamin berjaya memperoleh kemenangan dengan majoriti 2,029 undi.
Beliau sekali gus menewaskan pencabarnya, calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk KarimBujang dalam pertandingan satu lawan satu itu Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.
Pengumuman rasmi dibuat Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kimanis Pegawai Pengurus PRK Jupari@Jupry Etok pada jam 9:30 malam.
Mohamad mendapat 12,706 undi, menewaskan Karim yang mendapat 10,677 undi.
PRK Parlimen Kimanis adalah PRK ke-10 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada PRU14 lepas.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.