Kiev dan Barat sebelum ini mendakwa pesawat MH17 meletup di udara pada Julai lalu selepas ditembak oleh kumpulan pemisah itu dengan sistem peluru berpandu darat ke udara, BUK yang dibekalkan oleh Rusia.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh Moscow.Namun majalah Spiegel melaporkan, Ketua Agensi Perisikan Luar Jerman BND, Gerhard Schindler sebagai berkata, maklumat risikan mendapati pemberontak pro-Russia merampas peluru berpandu BUK dari sebuah pangkalan tentera Ukraine dan menembak peluru tersebut yang meletup di sebelah pesawat Malaysia.
Penerbangan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur itu terhempas pada 17 Julai lalu ketika terbang melintasi wilayah yang dikuasai pemberontak di timur Ukraine.
Semua 298 penumpang dan anak kapal MH17 terbunuh dalam serangan itu termasuk 153 rakyat Belanda.
Schindler memberitahu, dakwaan Rusia bahawa peluru berpandu itu ditembak oleh tentera Ukraine dan juga terdapat sebuah jet pejuang Ukraine terbang mendekati pesawat Boeing 777-200 itu adalah suatu pembohongan.
Kata Schindler lagi, gambar tentera Ukraine itu telah dimanipulasi seperti yang dilaporkan oleh Spiegel.
Majalah itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut tentang kandungan gambar tersebut, sumbernya atau pihak yang memanipulasinya.
Mengulas laporan berkenaan, Timbalan Perdana Menteri Republik Rakyat Donetsk, Andrei Purgin berkata, dakwaan Jerman itu mengarut.
“Dakwaan terhadap kami oleh majalah itu langsung tidak berasas,” katanya kepada agensi berita Interfax.
“Sistem peluru berpandu itu hanya boleh dilancarkan kakitangan yang terlatih dan pakar,” tambahnya.
Pemberontak Ukraine berjuang untuk menubuhkan negara sendiri di Donetsk, timur Ukraine yang dikenali sebagai Republik Rakyat Donetsk.
Schindler membentangkan penemuan itu di hadapan Jawatankuasa Kawalan Parlimen yang mengawasi kegiatan agensi perisikan Jerman pada 8 Oktober lalu.
Laporan awal oleh pasukan penyiasat Belanda yang disiarkan pada bulan lalu mendapati pesawat MH17 terkena sejumlah objek ‘bertenaga tinggi’ tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
Peluru berpandu Rusia, BUK berfungsi dengan meletup di sebelah sasaran dan melepaskan sejumlah serpihan berkelajuan tinggi ke arah sasaran. – AFP