Urusniaga Saham MAS antara paling aktif di Bursa Malaysia


Perkembangan positif MAS diniagakan antara paling aktif di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Penerbangan Airlines (MAS) adalah antara kaunter paling aktif di Bursa Malaysia hari ini, naik dua sen kepada 26 sen ketika mengakhiri dagangan.

Pada penutupan, kaunter berkenaan menyaksikan sejumlah 244.84 juta saham bertukar tangan, mencerminkan minat pelabur terhadap syarikat penerbangan nasional itu walaupun terdapat berita yang syarikat itu akan dijadikan persendirian.

Terdahulu, Kenanga Research berpendapat bahawa harga tawaran pembayaran semula modal secara terpilih sebanyak 27 sen sesaham oleh Khazanah kepada pemegang saham minoriti adalah berpatutan, berdasarkan harga tawaran 2.4 kali harga buku berbanding 11 sen nilai sesaham pada tahun kewangan 2014, mewakili 100 premium kepada wajaran industri.

Firma penyelidikan itu menasihatkan pemegang saham MAS supaya menerima tawaran Khazanah untuk membuka laluan kepada usaha menjadikan persendirian berikutan rizabnya mungkin tidak mampu bertahan sehingga akhir tahun kewangan 2015 ekoran kerugian berterusan.

Kaunter itu dibuka 2.5 sen lebih tinggi pada 26.5 sen, tertinggi hari ini berbanding 24 sen pada Jumaat.

Sementara itu, MAS dalam kenyataannya berkata, pucuk pimpinannya sudah bertemuwakil kesatuan sekerja dan persatuan lain sebagai langkah pertama untuk memaklumkan dan berbincang dengan kakitangan mengenai penyusunan semula masa depan syarikat penerbangan nasional itu.

"Seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu, ini akan menjadi satu proses yang panjang, yang memerlukan semua pihak untuk bekerjasama sekiranya mahu memastikan penyusunan semula itu berjaya," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Walaupun banyak lagi butiran akan datang mengenai masa depan itu, MAS berkata ia komited untuk bekerjasama rapat dengan semua kakitangan dan rakan kongsi syarikat penerbangan sepanjang proses itu, mengikut prinsip keadilan, ketelusan dan ehsan.

"Ia suatu yang kritikal bagi semua untuk menumpu mengekalkan momentum perniagaan MAS dan terus menyediakan perkhidmatan kelas dunia kepada pelanggan," kata syarikat itu.

Jumaat lalu, Khazanah Nasional Bhd, pemegang saham utama MAS, menyerahkan permohonan rasmi kepada lembaga pengarah syarikat penerbangan itu untuk melaksanakan langkah pengurangan dan pembayaran balik modal secara terpilih bagi saham-saham biasa MAS.

Apabila selesai, Khazanah Nasional akan menjadi pemegang saham biasa tunggal MAS, yang akan dikeluarkan daripada senaraian Bursa Malaysia.

Pada hari yang sama, MAS berkata ia menjangka cadangan langkah SCR itu selesai pada suku keempat tahun ini.-BERNAMA

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.