Tukang batu nisan dipenjara seminggu, denda RM5,000 tandatangan buku saman dengan perkataan lucah


Penjara seminggu, denda RM5,000 tandatangan buku saman dengan perkataan lucah

GEORGETOWN: Seorang tukang batu nisan dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM5,000 atau penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menandatangani buku saman trafik dengan perkataan lucah dua bulan lalu.

Majistret Dianne Nigrad Nor Azhar memerintahkan Lim Pei Jye menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.



Lim, 41, didakwa menulis kata-kata lucah pada buku saman yang diberikan kepadanya untuk ditandatangani dengan maksud mengaibkan kehormatan anggota polis trafik S.Thanesan di hadapan Kafe I Love U, di Jalan Batu Ferringhi, dekat sini, pada jam 9.50 pagi, 2 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes anggota polis trafik itu menahan Lim di hadapan kafe berkenaan kerana melanggar isyarat lampu merah.

Polis trafik itu kemudiannya mengeluarkan saman kepada Lim dan menyerahkan buku saman untuk Lim menandatanganinya, sebelum mendapati ruang tanda tangan itu ditulis dengan perkataan lucah.

Terdahulu, peguam Muhammad Arif Shaharuddin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan atas alasan lelaki berkenaan mempunyai tanggungan dua orang anak.

"Tertuduh memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan. Ketika kejadian dia dalam keadaan tertekan kerana dalam proses perceraian dengan isterinya. Oleh itu, saya memohon mahkamah mempertimbangkan rayuan tertuduh," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Hashim kemudiannya berkata perceraian tidak boleh digunakan sebagai alasan atas tindakan yang dilakukan untuk mengaibkan seorang anggota polis secara peribadi dan memohon hukuman berat berbentuk pengajaran dan faktor kepentingan awam diambil kira.

"Tertuduh sengaja menulis perkataan lucah kepada anggota polis trafik yang hanya menjalankan tugasnya. Sebelum itu, tertuduh juga melakukan kesalahan lalu lintas, melanggar lampu merah," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.