Tidak mungkin MH17 ditembak pesawat pejuang - DS Hishammuddin


HISHAMMUDDIN: Berdasarkan risikan tentera dan bukti sebahagian serpihan pesawat yang kita temui, tidak mungkin peluru yang digunakan dari udara ke udara tetapi dari darat ke udara.

BERA: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan laporan tersebar di media sosial yang mendakwa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh oleh pesawat pejuang.

Beliau berkata, sebaliknya hasil risikan dan bukti dikumpulkan daripada penemuan serpihan pesawat malang itu jelas menunjukkan ia ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu yang dilancarkan dari darat ke udara.

"Berdasarkan risikan tentera dan bukti sebahagian serpihan pesawat yang kita temui, tidak mungkin peluru yang digunakan dari udara ke udara tetapi dari darat ke udara.

"Sama ada ia milik Ukraine atau milik pihak pemisah yang dibekalkan oleh pihak Rusia, peluru itu mesti dari BUK System dan hal ini tidak dapat dinafikan oleh pihak Eropah, NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) mahupun Rusia".

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda, dan Puteri Umno Bahagian Bera di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ketua Umno Bahagian Bera.

Hishammuddin mengulas laporan media sosial yang mendakwa pesawat penerbangan negara MH17 membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas kerana ditembak jatuh oleh pesawat pejuang.

Kementerian Pertahanan Rusia sebelum ini turut mengeluarkan rakaman video yang menunjukkan kehadiran sebuah jet pejuang Ukraine, Sukhoi 25 (Su-25) yang dikesan terbang pada jarak tiga hingga lima kilometer daripada pesawat MH17 sebelum nahas itu.

Bagaimanapun, pakar ketenteraan luar negara berpendapat berdasarkan serpihan pesawat yang terbakar dan dipenuhi lubang-lubang kecil dan besar di bahagian tengah pesawat itu, ia ditembak dengan menggunakan peluru berpandu dari darat ke udara.

Hishammuddin berkata beliau sendiri secara peribadi dan berdasarkan pengalaman dan pengetahuannya sebagai Menteri Pertahanan turut yakin pesawat MH17 ditembak menggunakan peluru berpandu BUK.

Sehubungan itu beliau menasihati rakyat di negara ini agar tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi dan khabar angin yang tersiar di media sosial.



Dalam masa yang sama, Hishammuddin berkata bermula hari ini, kerajaan dan pimpinan Umno akan menggunakan hashtag #justice for MH17 berbanding #pray for MH17 yang digunakan sebelum ini.

"Jika sebelum ini kita mendoakan mangsa pesawat berkenaan, tetapi kini kita tuntut keadilan untuk mencari siapa dalang sebenar yang menembak jatuh pesawat kita. Ini pesawat kita, yang jadi mangsa orang kesayangan kita, sampai sekarang tak tahu sebabnya jadi penting untuk kita dapatkan keadilan.

"Kalau sebelum ini insiden pesawat komersial lain yang ditembak tidak mendapat keadilan yang sewajarnya hingga ke hari ini, kita tidak mahu ia turut menimpa MH17 dan kita akan siasat ke akar umbi untuk tahu siapa yang bertanggungjawab," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.