Kerajaan Malaysia Kaji penutupan Facebook


Kaji penutupan Facebook

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kerajaan akan mengkaji kewajaran untuk menutup laman sosial Facebook di negara ini sekiranya mendapat sokongan masyarakat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kajian tersebut akan dilaksanakan dalam bentuk pungutan suara terhadap pelbagai lapisan peringkat masyarakat di negara ini.

Saya nak dengar pandangan orang ramai kerana antara aduan paling besar kita terima adalah melalui Facebook. Sekiranya orang ramai berpendapat bahawa laman web itu perlu ditutup, kita bersedia untuk melihatnya.

Kita melihat ia sebagai satu pendekatan yang radikal tetapi untuk menyekat Facebook itu (ketika ini adalah) tidak mungkin. Kita boleh mengadu kepada Facebook untuk menutup laman tertentu," katanya pada Majlis Penutup Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Cheras di sini hari ini.

Beliau mengulas beberapa kes penghinaan dilakukan penggunaan Facebook terhadap isu-isu sensitif rakyat negara ini termasuk melibatkan kaum dan agama.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, pungutan suara tersebut akan dilaksanakan bagi mengetahui kesan yang bakal diterima pengguna laman sosial berkenaan sekiranya ia ditutup.

Tetapi apakah ini pilihan yang kita pilih? Perkara ini perlu kita kaji dan perlu mendapat pandangan orang ramai sebab kita mempunyai lebih kurang 15 juta akaun Facebook di negara kita," katanya.

Jelas beliau, Facebook turut menjadi platform bagi rakyat negara ini menjalankan perniagaan mereka di samping merapatkan hubungan silaturahim di dalam institusi kekeluargaan.

Katanya, pandangan orang ramai juga perlu memandangkan hanya 2,000 aduan diterima membabitkan Facebook berbanding jumlah akaun keseluruhannya iaitu kira-kira 15 juta.

Jadi, apakah kerana 2,000 kita terpaksa menutup kesemuanya? Jadi kena tengok balik dalam soal ini," katanya. - UTUSAN ONLINE

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.