KIEV - UKRAINE. "Kami sudah beri amaran-jangan terbang di laluan udara kami". Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh seorang Komander Kumpulan pemberontak Ukraine pro-Rusia, Donetsk People's Army, Igor Girkin melalui akaun laman sosialnya VK.com iaitu Facebook versi Rusia.
Igor yang mahu dikenali sebagai Strelkov berkata, kumpulannya mendakwa telah menembak jatuh sebuah pesawat pengangkutan tentera yang mana ia sebenarnya sebuah pesawat komersial yang membawa 298 penumpang termasuk krew kapal terbang menuju ke Kuala Lumpur."Pesawat itu baru saja dijatuhkan sekitar Torez (Donetsk Oblast). Ia di sana sekarang di belakang Progress Mine,” katanya seperti yang dipetik melalui sebuah portal.
Stelkov dan kumpulannya, Donetsk People's Army, dipercayai tersalah tembak pesawat itu yang disangka mereka milik tentera Ukraine.
Pada 29 Jun lalu, dalam satu laporan yang disiar olek Kyiv Post, kumpulan terbabit mengumumkan bahawa mereka telah berjaya mengambil alih satu kem tentera Ukraine di mana peluru berpandu Buk milik tentera Ukraine yang menjadi simpanan tentera turut dirampas semasa proses pengambilalihan tersebut berlaku.
Setakat ini, tiada pihak tampil untuk mengesahkan mengenai jumlah peluru berpandu tersebut yang dirampas oleh kumpulan tersebut.
Difahamkan, peluru berpandu itu boleh dilancarkan ke atas musuh dengan kelajuan sejauh 25 kilometer dan tiga kali ganda ketinggian MH17 dilaporkan terbang.
Dalam pada itu, kumpulan tersebut yang didakwa melakukan serangan udara ke atas MH17 menafikan pihaknya bertanggungjawab.
"Ia boleh berlaku hanya melalui pesawat tempur atau peluru berpandu darat ke udara (yang menembaknya)," kata salah seorang daripada puak pemberontak, Sergei.
Sergei menambah, mereka tidak mempunyai senjata yang mampu menembak pesawat yang terbang setinggi itu.
Namun Anton Gerashenko, penasihat Kementerian Dalam Negeri berkata berjaya merakamkan gambar peluru berpandu Buk seminit selepas ia dilancarkan.